MELAKA, 21 Dis (Bernama) -- Lebih 20,000 peserta menyertai Larian Budaya Antarabangsa Duyong 2025, bermula dan berakhir di Stadium Fatimah, Bukit Serindit di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata larian yang memasuki edisi ketiga itu menyaksikan peningkatan ketara peserta termasuk kira-kira 2,000 dari Indonesia.
"Tahun lepas kita menerima 10,000 peserta dengan jumlah bertambah saban tahun sejak dianjurkan pada 2023 sekali gus mencerminkan kejayaan acara ini sebagai tarikan pelancongan sukan dan platform perpaduan masyarakat.
"Kita turut mendapat penyertaan kira-kira 200 kanak-kanak autistik, selain masyarakat setempat dan luar Melaka yang menyaksikan penganjuran tahun ini lebih dinamik dengan pengukuhan elemen budaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Program itu dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Mohd Noor Helmy berkata Larian Budaya Antarabangsa Duyong itu juga merupakan platform menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, budaya dan negeri melalui semangat kesukanan serta kebersamaan.
Beliau berkata laluan larian sejauh kira-kira lima kilometer itu turut diperluaskan dengan melibatkan kawasan lain, iaitu Bukit Baru selain Duyong.
Mohd Noor Helmy berkata sebanyak 11 titik semak disediakan sepanjang laluan dengan pengisian elemen kebudayaan termasuk persembahan muzik tradisional serta hidangan makanan pelbagai kaum, sekali gus memberi pengalaman unik kepada peserta.
Menurut beliau, penganjuran kali ini turut menawarkan 500 hadiah cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa pakej menunaikan umrah dan hadiah kedua seekor lembu dengan berat lebih 300 kilogram.
Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan rock tanah air, XPDC.
-- BERNAMA