JENAYAH & MAHKAMAH

Bilik Simpan Fail Klinik Kesihatan Kuala Besut Terbakar

21/12/2025 03:37 PM

JERTIH, 21 Dis (Bernama) -- Tindakan pantas petugas Klinik Kesihatan Kuala Besut di sini, yang membantu memadam kebakaran di bilik penyimpanan fail di klinik berkenaan pada petang semalam, berjaya mengelakkan api daripada merebak. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata lapan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 6.44 petang.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran sebanyak 80 peratus melibatkan sebuah bilik simpanan fail di dalam klinik jenis kekal dengan anggaran keluasan 93 kaki persegi.

“Kebakaran itu cuba dipadamkan oleh petugas klinik tersebut menggunakan alat pemadam api yang terdapat di premis berkenaan sebagai langkah awal sebelum ketibaan bomba.

"Tindakan pantas itu berjaya mengawal api daripada terus merebak ke bahagian lain yang mungkin boleh menyebabkan kerosakan lebih teruk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad Azrul Izzham berkata pihaknya telah melaksanakan pemadaman serta pencegahan dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.17 malam.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505024