KYIV/ISTANBUL, 21 Dis (Bernama-Anadolu) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Sabtu berkata Amerika Syarikat (AS) menawarkan satu mesyuarat tiga hala di peringkat penasihat keselamatan negara melibatkan Rusia dan Ukraine, sebagai usaha menamatkan perang, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Menurut laporan media Ukraine, Zelenskyy membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan wartawan menerusi platform media sosial.
Beliau berkata akan menyokong mesyuarat berkenaan sekiranya beberapa keputusan penting dapat dicapai, termasuk pertukaran tahanan.
Zelenskyy turut memaklumkan bahawa mesyuarat dalam format sama pernah diadakan di Türkiye, yang membawa kepada pelaksanaan pertukaran tahanan hasil rundingan terbabit.
Kerja-kerja berkaitan pelan damai yang dicadangkan oleh Washington sedang dijalankan, dan delegasi Ukraine kini meneruskan rundingan di Amerika Syarikat, katanya.
Menurut beliau, antara isu paling sukar dibincangkan dalam rundingan itu ialah soal keutuhan wilayah Ukraine, jaminan keselamatan, peruntukan sokongan kewangan bagi kerja-kerja pembinaan semula serta pengurusan Loji Kuasa Nuklear Zaporizhia.
Bagi menamatkan perang, Zelenskyy menyatakan bahawa mungkin wajar buat masa ini tentera Ukraine dan Rusia kekal di barisan hadapan masing-masing.
Presiden Ukraine itu juga berkata beliau tidak melihat sebarang kesediaan daripada Rusia untuk menamatkan perang, namun memaklumkan bahawa AS menyatakan Rusia berhasrat menamatkan konflik itu.
-- BERNAMA-ANADOLU