DUNGUN, 22 Dis (Bernama) -- Anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), menyumbangkan zakat bernilai RM6.2 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada tahun ini.
Pengurus Besar Ketengah Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, berkata sumbangan zakat tersebut adalah hasil keuntungan yang diperoleh daripada operasi anak-anak syarikat dalam kumpulan KHSB.
“Kumpulan KHSB terdiri daripada syarikat perladangan dan perkilangan yang menjalankan aktiviti utama mengeluarkan serta memproses kelapa sawit.
“KHSB turut terlibat dalam sektor lain seperti kuari, hartanah, pelancongan, pendidikan dan penternakan,” katanya selepas Majlis Pengagihan Zakat Ketengah Holdings Parlimen Dungun di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Dungun Datuk Din Adam.
Seramai 320 penerima dari seluruh Parlimen Dungun menerima sumbangan zakat pada majlis itu.
Tengku Ahmad Nadzri berkata Ketengah juga menerima pulangan bahagian zakat sebanyak RM1.9 juta, yang akan diagihkan sendiri kepada golongan berkelayakan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diagihkan kepada 2,560 penerima berkelayakan di lapan Parlimen di Terengganu pada tahun ini.
“Sumbangan zakat ini diharap dapat meringankan beban penerima, khususnya dalam kalangan asnaf dan golongan miskin,” katanya.
-- BERNAMA