PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Corporation, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Kitar Semula Pukat Lama di Jeti Sepang Besar, Bagan Lalang, sebagai usaha memperkasakan nelayan tempatan, di samping menyokong keselamatan laut dan sumber makanan secara mampan.
Menerusi inisiatif itu, para nelayan di kawasan Sepang dan Kuala Langat mengumpulkan jaring dan pukat terpakai ke dalam tong khas 'NuNet' yang disediakan oleh Nuplas Solutions Sdn Bhd (Nuplas), di Jeti Sepang Besar.
Nelayan yang menyertai program itu bakal menerima insentif tunai hingga RM1.50 bagi setiap kilogram jaring dan pukat terpakai yang dikumpulkan dengan setiap tong 'NuNet' mampu menampung hingga 600 kilogram jaring dan pukat.
Program itu dilaksanakan pada 20 Dis lepas dengan syarikat Bio-based Accelerator (BBA), Nuplas selaku rakan strategik, dengan kerjasama Jabatan Perikanan Selangor serta Persatuan Nelayan Kawasan Sepang dan Kuala Langat.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dalam kenyataan hari ini berkata jaring dan pukat yang dikumpul akan diproses oleh Nuplas menggunakan teknologi berasaskan bio untuk ditukar menjadi bahan mentah berkualiti tinggi bagi kegunaan industri, termasuk pembuatan kasut, jersi, komponen dalaman kenderaan dan peralatan elektrik.
Beliau berkata program itu turut membantu mengurangkan insiden pukat hantu, pencemaran laut serta ancaman terhadap ekosistem marin yang boleh menjejaskan sumber makanan laut negara.
"Program Kitar Semula Pukat Lama ini penting kerana nelayan membantu menangani masalah jaring dan pukat yang dibuang ke laut di Malaysia. Menurut Tabung Alam Malaysia (WWF), setiap tahun lebih satu juta tan peralatan menangkap ikan seperti jaring dan pukat memasuki laut.
“Ini bukan sahaja membahayakan kesihatan manusia, malah turut menyebabkan kematian ikan dan haiwan laut lain, lalu berpotensi menyumbang kepada kekurangan bekalan makanan negara," katanya.
Ucapan beliau telah disampaikan oleh Naib Presiden Kanan, Bahagian Perkhidmatan Korporat Bioeconomy Corporation Wan Hasnul Nadzrin Wan Sulong.
Mohd Khairul berkata di samping menyokong keselamatan makanan negara, program itu membuka peluang pendapatan tambahan kepada nelayan serta menggalakkan pelupusan jaring dan pukat secara lebih bertanggungjawab.
"Pada masa sama, penglibatan nelayan dalam program ini menyumbang kepada penghasilan produk baharu dan menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran serta gaya hidup mampan yang ditekankan oleh kerajaan," katanya.
Seramai 60 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan Sepang dan sebahagian dari Kuala Langat telah hadir menjayakan program tersebut, yang berpotensi memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 385 nelayan di kedua-dua kawasan tersebut.
Melalui Bioeconomy Corporation, program CSR itu diperkenalkan buat pertama kali di Sepang, dan Nuplas telah melaksanakan program pengumpulan jaring dan pukat terpakai bersama 10 komuniti nelayan di Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
Dalam majlis itu, para nelayan turut membawa jaring dan pukat terpakai untuk diserahkan dan Nuplas juga telah mengadakan sesi taklimat dan memberikan tunjuk ajar kepada para nelayan mengenai kaedah pengasingan serta pembersihan jaring dan pukat terpakai sebelum dikumpulkan.
Maklum balas yang diterima daripada nelayan adalah amat positif, dengan beberapa nelayan mencadangkan agar lebih banyak tong 'NuNet' ditempatkan, khususnya di kawasan Kuala Langat, bagi memudahkan penglibatan berterusan dalam program itu.
Inisiatif itu ialah usaha Bioeconomy Corporation dalam menyokong MOSTI untuk membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat, selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menggalakkan ekonomi kitaran serta Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 bagi memantapkan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara.
-- BERNAMA