SHAH ALAM, 22 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas A yang dikendalikan dua lelaki warga asing atas pelbagai kesalahan di sekitar perairan Kuala Langat, dekat sini, malam semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata tangkapan itu dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia kira-kira 7.30 malam ketika menjalankan rondaan rutin.
“Vesel berkenaan telah diperiksa sebelum ditahan pada kedudukan 4.61 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Kuala Langat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong dan seorang kru warga asing yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain tidak memiliki permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Beliau berkata kedua-dua individu berusia 40 tahun itu turut didapati melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu vesel tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.
“Kru, vesel serta peralatan perikanan bersama hasil laut yang terdapat di atasnya telah disita sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan komitmen Maritim Malaysia untuk terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara, khususnya di Selangor, tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
-- BERNAMA