JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Tadbir Rugi Lebih RM12,000 Ditipu Pelaburan Forex

23/12/2025 01:33 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Dis (Bernama) -- Seorang pegawai tadbir kerugian RM12,017 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang asing atau forex tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 10 Dise lepas, mangsa lelaki berusia 58 tahun itu telah tertarik dengan tawaran iklan pelaburan di laman Facebook.

Beliau berkata mangsa yang berminat telah menghubungi suspek dan diberi penerangan mengenai pelaburan tersebut.

"Mangsa telah membuat pelaburan dengan modal RM300 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM11,000 dalam tempoh dua jam.

"Selain itu mangsa juga membuat bayaran kononnya untuk urusan penerimaan keuntungan pelaburan berjumlah RM11,771 dalam tempoh 11 hingga 15 Dis lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang rasa tertipu selepas tidak menerima wang dijanjikan, telah membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505498