KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) pada Oktober 2025 lebih memberangsangkan dengan mencatatkan kenaikan 3.6 peratus kepada 116.2 mata daripada 112.2 mata pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Katanya, ini menandakan momentum ekonomi yang optimistik menjelang 2026.
Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata lonjakan ketara ini dipacu oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh dalam tiga komponen IP.
Beliau memberitahu, ketiga-tiga komponen IP berkenaan iaitu Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (51.2 peratus), Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (39.2 peratus) dan Import Benar Semi Konduktor (32.4 peratus).
"Pada masa yang sama, prestasi bulanan IP melonjak kepada 2.6 peratus pada Oktober 2025 selepas mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut-turut, disokong oleh prestasi yang bertambah baik dalam Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (1.8 peratus).
"Perkembangan positif ini menggambarkan momentum ekonomi yang lebih kukuh menjelang 2026," katanya dalam satu kenyataan merujuk penerbitan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Oktober 2025 hari ini.
IP memberi petunjuk awal mengenai titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, DOSM berkata, selaras dengan peningkatan ketara dalam prestasi IP, trend arah aliran jangka panjang terlicin IP melepasi paras 100.0 mata pada Oktober 2025.
"Berdasarkan senario tersebut, prospek ekonomi dijangka lebih optimis pada masa hadapan disokong oleh aktiviti ekonomi yang menggalakkan terutamanya dalam import barangan perantaraan di samping prestasi yang memberangsangkan merentasi sektor ekonomi utama iaitu sektor perkhidmatan dan pembuatan," katanya.
Menurut DOSM, dalam menilai kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) terus mencatatkan peningkatan tahunan yang memberangsangkan iaitu 2.7 peratus kepada 129.9 mata daripada 126.5 mata pada tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya, pertumbuhan ketara 15.3 peratus dalam Nilai Caruman Benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan aliran pendapatan pekerja yang lebih kukuh serta kesinambungan peluang pekerjaan.
"Pada asas bulanan, IS turut menunjukkan perkembangan positif, 0.6 peratus yang sebahagian besarnya dipacu oleh kenaikan dalam Gaji dan Upah Benar dalam Pembuatan serta Nilai Caruman Benar KWSP, masing-masing menyumbang 0.2 peratus," katanya.
Malaysia buat julung kalinya menduduki tangga pertama di peringkat global dalam laporan dwitahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.
Pencapaian ini merupakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.
OpenDOSM NextGen merupakan medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
-- BERNAMA