KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Bekas presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) S.I. Rajah meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Kuala Lumpur malam tadi pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan Presiden PPP Datuk Dr Loga Bala Mohan yang menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar kepada parti.
Beliau berkata mendiang merupakan pemimpin yang dihormati dan memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan serta pertumbuhan PPP semasa melalui tempoh mencabar dalam sejarahnya.
“Mendiang seorang yang komited dan berkhidmat kepada parti dengan dedikasi serta menjunjung prinsip penubuhannya, iaitu pelbagai kaum dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada Bernama hari ini.
Loga Bala berkata kepimpinan dan bimbingan mendiang membantu parti melalui peralihan utama dan cabaran dalaman yang meninggalkan legasi kepada pemimpin serta ahli parti.
S.I. Rajah, seorang peguam terkemuka merupakan presiden PPP dari 1978 hingga 1982 dan kekal berpengaruh walaupun selepas berundur daripada kepimpinan aktif parti.
Pengebumian berlangsung di Krematorium Loke Yew pada 3 petang selepas upacara sembahyang mengikut agama Hindu di Puchong, Selangor.
Sementara itu, Naib Presiden MIC Datuk T. Murugiah yang turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang berkata S. I. Rajah merupakan tokoh penting dalam membentuk PPP hari ini.
-- BERNAMA