KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Semua pihak diingatkan agar tidak mempertikaikan integriti institusi kehakiman susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Datuk Awang Azman Awang Pawi berkata tekanan terhadap institusi kehakiman melalui sentimen awam, termasuk melabelkan keputusan mahkamah sebagai tidak sah kerana tidak selari dengan kehendak politik mereka, merupakan amalan tidak sihat yang boleh merosakkan asas demokrasi.
Felow Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia itu berkata dalam negara hukum, keadilan tidak ditentukan oleh “sedap tekak” atau emosi, persepsi awam atau kepentingan politik semasa sebaliknya dilaksanakan melalui proses perundangan telus dan berperingkat yang mesti dihormati sepenuhnya.
"Sikap keputusan hanya diterima jika memihak kepada kita amat membimbangkan... jika dibiarkan, ia berpotensi melemahkan institusi kehakiman, menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan membuka ruang kepada tekanan populis,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau juga berkata saluran perundangan termasuk hak rayuan masih terbuka, justeru keputusan mahkamah wajar diterima tanpa prejudis dan tekanan politik sepanjang proses kehakiman berlangsung.
Awang Azman berkata keputusan Mahkamah Tinggi semalam turut mencerminkan pendirian tegas Kerajaan MADANI dalam menghormati prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dengan tidak mencampuri urusan mahkamah meskipun isu berkenaan mempunyai implikasi politik yang sensitif.
“Hanya dengan menghormati undang-undang secara konsisten, kestabilan negara, keadilan sosial dan keyakinan rakyat dapat dipelihara dalam jangka panjang,” katanya.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban Shahidah Abdul Razak turut senada dengan menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi itu jelas berlandaskan undang-undang serta membuktikan tiada kekebalan diberikan kepada mana-mana individu termasuk dalam kes berprofil tinggi.
"Ia juga menggambarkan tiada campur tangan oleh pihak kerajaan (eksekutif) atau pihak ketiga yang boleh mempengaruhi keputusan mahkamah walaupun parti yang dianggotai oleh Najib merupakan sebahagian daripada kerajaan semasa," katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI dilihat bersikap terbuka dengan tidak menafikan hak pembelaan untuk meneruskan tindakan selanjutnya melalui peruntukan undang-undang sedia ada.
Shahidah berkata bagaimanapun, obsesi terhadap pemimpin tertentu berpotensi mempengaruhi penerimaan segelintir pihak terhadap apa jua keputusan mahkamah.
Sementara itu, Felow Majlis Profesor Negara Dr Azmi Hassan menasihati semua pihak khususnya parti dalam gabungan Kerajaan MADANI agar membiarkan proses kehakiman berjalan sepenuhnya tanpa polemik yang berisiko mengeruhkan keadaan.
"Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai ruang perundangan untuk ke peringkat seterusnya dan wajar proses ini dibiarkan berlangsung tanpa kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan kestabilan negara serta persepsi rakyat,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan titah adendum selepas mendapati perkara tersebut tidak dibincang atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Jan 2024 sekali gus mengesahkan bahawa beliau perlu menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan hari ini turut menggesa semua pihak agar menghormati keputusan mahkamah dan tidak mengeruhkan suasana atau meningkatkan ketegangan awam berhubung isu berkenaan.
-- BERNAMA