AM

Kerajaan MADANI Komited Rapatkan Jurang Pembangunan Sabah, Sarawak 

23/12/2025 07:41 PM

Oleh Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 23 Dis (Bernama) -- Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak khususnya dari aspek infrastruktur, pendidikan dan kemudahan asas merupakan antara agenda utama pada tahun 2025.

Komitmen ini terlihat melalui Belanjawan 2025, dengan Sabah diperuntukkan RM6.7 bilion, manakala Sarawak menerima RM5.9 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan strategik demi kesejahteraan rakyat.

Ahli akademik Prof Datuk Dr Jayum Jawan yang juga seorang Felo Akademi Sains Malaysia berkata projek pembangunan dilaksanakan di kedua-dua negeri itu pada tahun ini, merupakan satu tanggungjawab yang perlu, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira perbandingan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata Kerajaan MADANI, telah menunjukkan kesungguhan dalam merapatkan jurang pembangunan antara dua wilayah tersebut.

“Setakat ini saya lihat tuntutan Sabah dan Sarawak telah menunjukkan hasil, dan pemulihan kepada jurang ini juga harus bermula sekarang.

“Kita dapat lihat keterbukaan termasuk dalam Pemberian Khas untuk Sabah dan Sarawak sebanyak RM600 juta, sebagai titik pemulaan dan kesediaan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membaiki jurang tersebut,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang secara keseluruhan menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion, telah menunjukkan kemajuan memberangsangkan.

Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sudah hampir siap sepenuhnya, manakala sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan surat setuju terima (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion.

Selain itu, Projek Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 juga telah bermula dan dijangka siap pada tahun 2029, melibatkan anggaran kos RM7.6 bilion.

Mengulas mengenai keutamaan projek pembangunan, Jayum berkata tanggungjawab utama kerajaan, sama ada pada peringkat negeri mahupun Persekutuan, ialah melaksanakan pembangunan secara adil dan seimbang antara kawasan luar bandar dengan bandar.

“Pemimpin yang hebat bukan hanya sekadar lancar banyak projek besar semata-mata tetapi mempunyai sifat kasih dan sayang kepada semua terutamanya buat mereka yang masih ketinggalan dari aspek keperluan asas untuk menampung kehidupan seharian,” katanya.

Selain projek jalan raya, menerusi Belanjawan 2025, sejumlah RM500 juta diperuntukkan untuk projek bekalan air bersih dan elektrik di Sabah dan Sarawak.

Pendidikan pula menyaksikan RM1 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak, dengan 44 sekolah baharu mula dibina tahun ini, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Lok Kawi, Putatan, Sabah dan Sekolah Kebangsaan Dudong, Sibu, Sarawak.

Kerajaan MADANI  juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505663