AM

Maxis Perkasa Komuniti Kampung Sayap Di Sabah Sempena Krismas

23/12/2025 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Maxis dengan kerjasama Hopes Malaysia memperkasa penduduk Kampung Sayap, Kota Belud, Sabah, menerusi sokongan terhadap inisiatif sumber pendapatan berasaskan komuniti serta meraikan mereka sempena sambutan Krismas. 

 Maxis dalam kenyataan memaklumkan sambutan yang diadakan di dewan terbuka Kampung Sayap itu menghimpunkan lebih 250 penduduk dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti serta jamuan makan tengah hari.

“Maxis turut menyumbangkan bahan dan peralatan pertanian lestari bagi menyokong bidang pertanian Kampung Sayap. Sumbangan itu memberi manfaat kepada 80 keluarga sekali gus akan memperkukuh keterjaminan makanan dan memberi impak berpanjangan kepada komuniti di kampung berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Maxis turut mengadakan bengkel eKelas Usahawan untuk 45 wanita dan belia dalam kalangan komuniti berkenaan bagi membantu meningkatkan kemahiran peserta serta membimbing mereka memasarkan produk secara lebih berkesan dalam pasaran digital.

Maxis juga mengedarkan pek SIM Hotlink bagi membantu penduduk kampung kekal terhubung.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata sumbangan yang diberikan diharap dapat menyokong usaha pertanian lestari komuniti serta melengkapkan usahawan tempatan dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk berkembang maju pada masa depan.

Sementara itu, wakil Hopes Malaysia Ezra Sadok pula menzahirkan penghargaan kepada Maxis atas sumbangan diberikan kepada seluruh komuniti berkenaan dan turut berharap untuk terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi itu dalam memperkasa komuniti setempat.

Hopes Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Sabah  yang memberi tumpuan kepada usaha memutuskan kitaran kemiskinan luar bandar di Kota Belud melalui penyelesaian lestari jangka panjang.

--BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505666