PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperkukuh komitmennya sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjadi peneraju dalam integriti dan antirasuah menerusi kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan delegasi Unit Integriti Kerajaan (IGU) Petronas yang diketuai Ketua Pegawai Integriti Kumpulan Petronas Mohamad Faizal Sadri dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, semalam.
Azam dalam kenyataan hari ini berkata SPRM menekankan kepentingan pendekatan pencegahan yang menyeluruh, perlindungan ‘whistleblower’ yang berkesan serta pengendalian laporan secara telus bagi membina kepercayaan dan memperkukuh akauntabiliti dalam organisasi.
Beliau turut menggalakkan kerjasama dalam program pembangunan kapasiti serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan penambahbaikan berterusan dan pematuhan etika, sekali gus meletakkan kedudukan Petronas sebagai GLC peneraju dalam integriti dan kecemerlangan antirasuah.
Azam turut menyambut baik cadangan untuk beliau hadir berkongsi visi dan aspirasi berkaitan pendekatan strategik SPRM dalam sesi “Coffee With Integrity” bersama Pengurusan Tertinggi Petronas yang akan diadakan tahun hadapan.
Dalam pada itu, Petronas menegaskan komitmennya untuk terus memupuk budaya integriti yang melangkaui pematuhan semata-mata selaras dengan aspirasi syarikat untuk menetapkan piawaian baharu integriti dalam landskap korporat negara.
Pertemuan itu bertujuan mendapatkan panduan daripada SPRM bagi memperkukuh pengamalan etika merentasi operasi dan rantaian bekalan syarikat selain hala tuju Petronas dalam memperkasa integriti melangkaui isu rasuah serta jenayah kewangan.
Dalam sesi itu, Petronas turut membentangkan kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif tadbir urus termasuk penambahbaikan mekanisme ‘whistleblowing’, pengukuhan kerjasama perkongsian awam-swasta, program kesedaran berasaskan kepimpinan serta pelan lima tahun integriti dan antirasuah yang merangkumi aspek pengubahan wang haram.
-- BERNAMA