MELAKA, 24 Dis (Bernama) -- Polis menahan tiga individu dalam serbuan berasingan pada 15 Dis lepas, dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar Melaka Tengah hasil risikan yang dijalankan selama beberapa bulan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata tangkapan ke atas dua lelaki berusia 33 dan 29 tahun serta seorang wanita berumur 24 tahun itu dilakukan oleh sepasukan polis Cawangan D4 (Risikan/Operasi), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
“Dalam operasi itu, dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah kedai barang antik di Jalan Munshi dan susulan tangkapan itu, satu serbuan dijalankan di sebuah rumah di Pokok Mangga yang membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki bersama rampasan barang kes.
"Hasil soal siasat lanjut juga mendapati kesemua suspek terlibat dalam 10 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Christopher juga berkata siasatan lanjut mendapati hubungan kedua-dua lelaki ialah adik-beradik manakala wanita itu dipercayai teman wanita seorang daripada suspek.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah antaranya plat emas, wang syiling lama pelbagai mata wang, telefon bimbit pelbagai model, sebuah komputer riba, iPad, jam tangan pelbagai jenama, sarung tangan, sarung kepala, pemotong besi, playar, lampu suluh dan sebilah pisau.
“Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 20 rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah manakala dua lagi tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
"Kesemua suspek kini direman hingga 29 Dis ini bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Christopher turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis dengan segera bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
-- BERNAMA