SUKAN

AHF Perkasa Pembangunan Belia, Lahir Bakat Hoki Ke Arah Sukan Olimpik

24/12/2025 10:26 PM

IPOH, 24 Dis (Bernama) -- Persekutuan Hoki Asia (AHF) menerusi program pembangunan belia, terus memainkan peranan penting dalam mencungkil dan mengasah bakat baharu sukan hoki dari negara-negara yang sedang membangunkan sukan itu, sebagai persediaan jangka panjang melahirkan pemain berpotensi ke pentas Sukan Olimpik.

Penasihat AHF Datuk Abdul Rahim Mohd Ariff berkata inisiatif itu, dilaksanakan menerusi penganjuran Dare to Dream Youth Leadership Forum dengan kerjasama AirAsia dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah.

“Program ini merupakan sebahagian daripada misi Olympic Solidarity yang memberi tumpuan kepada pembangunan negara-negara ahli AHF, yang masih berada pada fasa awal pembangunan hoki yang  menyasarkan pemain-pemain muda.

“Antara negara yang sukan hoki sedang membangun seperti Kemboja, Macau, Indonesia, Pakistan serta Malaysia, dengan ia memberi peluang kepada bakat-bakat baharu ini untuk diasah agar suatu hari nanti mampu mewakili negara masing-masing di Sukan Olimpik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah di Stadium Azlan Shah di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar AHF Ghulam Ghous. 

Abdul Rahim berkata program itu bukan sekadar memberi pendedahan kepada aspek teknikal hoki, malah turut menekankan pembangunan kepimpinan dalam kalangan peserta, dengan mempelajari teknik-teknik hoki berkaitan aspek kejurulatihan, pengadilan dan teknikal.

“Seramai 50 remaja yang berusia 14 hingga 17 tahun telah menyertai forum ini yang bermula pada 21 Dis hingga hari ini dan aktiviti yang dijalankan termasuklah elemen hoki lima sebelah (5s), indoor hockey dan outdoor hockey.

“Tahun ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah program berkenaan, dengan Raja Ashman Shah Academy menjadi pusat pelaksanaan selepas kejayaan penganjuran edisi terdahulu dan bagi penyertaan tempatan, Malaysia diwakili dua pasukan iaitu pasukan Malaysia yang dihantar oleh Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) serta pasukan Raja Ashman Shah Academy,” katanya.

Beliau berkata program seumpama itu dilihat selari dengan usaha AHF untuk merapatkan jurang prestasi antara negara maju dan negara membangun dalam sukan hoki Asia, sekali gus memperluas landskap persaingan di peringkat antarabangsa.

Berkaitan majlis hari ini, turut berlangsung perlawanan hoki antara negara-negara yang terlibat dengan perlawanan outdoor, pasukan Malaysia menjadi johan, manakala Akademi Hoki Raja Ashman Shah pula naib johan. 

Perlawanan indoor pula dimenangi oleh Indonesia dengan Malaysia di tempat kedua serta Macau (ketiga), selain hoki 5s diungguli Pakistan, Malaysia (kedua) dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah (ketiga).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505990