AM

Ayam Percik, Kain Sarung Warnai Krismas Komuniti Kristian Kelantan

24/12/2025 12:31 PM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 24 Dis (Bernama) -- Krismas di Kelantan tidak hanya diraikan dengan lagu dan hiasan perayaan, malah turut diserikan dengan hidangan tempatan seperti ayam percik, nasi dagang, budu dan nasi kerabu Golok yang mencerminkan penyesuaian komuniti Kristian dengan budaya setempat.

Sambutan Krismas di negeri ini lazimnya berlangsung secara sederhana dan tertumpu di gereja serta kediaman masing-masing, mencerminkan kehidupan komuniti Kristian yang telah lama menyesuaikan diri dengan budaya dan cara hidup masyarakat tempatan di Kelantan.

Paderi Gereja Presbyterian Kelantan, Lim Khet Keang, 59, berkata penganut Kristian di Kelantan, khususnya di Kota Bharu, merupakan komuniti minoriti dengan jumlah gereja yang terhad dan kebanyakannya berskala kecil.

“Dari segi makanan, ayam percik, nasi dagang, budu dan nasi kerabu Golok kekal menjadi pilihan kerana sudah sebati dengan selera masyarakat Kelantan, selain terdapat juga hidangan barat seperti spageti yang digemari golongan muda.

“Krismas di Kelantan diraikan secara hampir seragam, dengan sebahagian penganut mengadakan makan malam pada 24 Disember atau lebih awal, selain aktiviti ‘caroling’ iaitu melawat rumah ahli gereja sebelum berkumpul untuk makan malam bersama,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lim berkata pada setiap 25 Disember, penganut berhimpun di gereja pada waktu pagi sebelum menikmati makan tengah hari bersama keluarga atau rakan terdekat.

Menurutnya, pengaruh budaya tempatan turut jelas dalam sambutan Krismas di Kelantan, termasuk dari segi pemakaian dan makanan, apabila sebahagian warga emas masih mengenakan kain sarung ketika menghadiri upacara di gereja khususnya di Gereja Presbyterian Wakaf Bharu.

“Di gereja Wakaf Bharu, masih terdapat warga emas yang berpakaian seperti orang kampung Melayu Kelantan, berkain sarung dan bertutur dalam dialek tempatan ketika datang ke gereja, sesuatu yang jarang dilihat di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata Gereja Presbyterian Kelantan di Kota Bharu merupakan gereja pertama di negeri ini yang ditubuhkan pada 1938 dan kini mempunyai kira-kira 150 penganut aktif.

Selain beberapa gereja utama di Kota Bharu, katanya terdapat lima gereja kecil di daerah Rantau Panjang, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Wakaf Bharu, Tumpat.

Sementara itu, Lee Lai Ting, 62, yang juga seorang guru tuisyen, berkata persiapan Krismas di rumah atau rumah ibadat turut melibatkan pokok Krismas yang dihias secara sederhana.

“Pokok Krismas itu saya hias sendiri dan ia sekadar menceriakan suasana rumah sempena Krismas. Pokok Krismas mempunyai pelbagai simbolik dalam kepercayaan Kristian, antaranya warna hijau yang melambangkan kehidupan dan pertumbuhan, lampu sebagai simbol kehidupan yang terang serta bintang di puncak pokok sebagai panduan hidup,” katanya.

Lee berkata amalan memberi hadiah sempena Krismas pula dilakukan secara sederhana sebagai lambang perkongsian dan berkat, khususnya kepada kanak-kanak dalam aktiviti gereja.

“Sambutan Krismas di Kelantan bukan bersifat komersial atau mewah, sebaliknya lebih menekankan tradisi, ibadat dan kebersamaan keluarga dalam kalangan komuniti minoriti Kristian,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505805