AM

Komuniti Presint 16 Ubah Ruang Terbiar Kepada Sumber Rezeki, Perpaduan

24/12/2025 02:45 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Apa yang bermula sebagai inisiatif kecil mengisi masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 kini berubah menjadi sumber pendapatan mampan dan lambang perpaduan di Apartmen Presint 16 menerusi projek kebun komuniti serta madu kelulut yang kian berkembang.

Daripada kawasan longkang dan rezab saliran yang sebelum ini terbiar, Kebun Komuniti Kawasan Rukun Tetangga Apartmen Presint 16 kini bertukar wajah menjadi kebun hijau yang subur dipenuhi tanaman sayuran serta deretan sarang kelulut yang menghasilkan madu bernilai tinggi sekali gus memberi nafas baharu kepada persekitaran dan kehidupan penduduk setempat.

Pengurus Projek Md Nasir Md Isa berkata idea membangunkan kebun komuniti di perumahan penjawat awam itu tercetus ketika PKP apabila penduduk tidak dapat bergerak bebas dan memerlukan ruang yang selamat untuk beriadah serta berinteraksi.

“Pada awalnya, kami hanya bersihkan kawasan ini untuk berkebun, tanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri dan komuniti... lama-kelamaan, kami nampak potensi lain sebab kawasan ini dikelilingi pokok berbunga yang sesuai sebagai sumber nektar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata daripada situ, lahir idea untuk memperkenal projek ternakan madu kelulut sebagai aktiviti tambahan yang mampu menjana pendapatan selain mencantikkan kawasan dan mengurangkan masalah nyamuk serta haiwan liar.

Usaha itu diperkukuh dengan bantuan geran kerajaan berjumlah RM46,500 daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan Negara, yang digunakan sebagai modal permulaan untuk membeli sarang kelulut, peralatan penuaian, pembotolan serta pelabelan produk.

“Kami bermula dengan 10 log sebagai projek perintis... selepas tiga bulan, hasilnya memberangsangkan dan kami terus kembangkan... sekarang, kami ada kira-kira 60 sarang melibatkan enam spesies kelulut,” katanya.

Md Nasir berkata dalam tempoh enam minggu, projek itu mampu menghasilkan antara 30 hingga 50 kilogram madu, bergantung kepada cuaca, dengan nilai jualan yang tinggi apabila dibotolkan.

“Jika dijual dalam botol 250 mililiter, satu kilogram madu boleh mencecah sehingga RM240 berbanding RM120 hingga RM140 jika dijual secara pukal... pendapatan projek kini meningkat daripada sekitar RM1,001 sebulan kepada kira-kira RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata selain jualan terus kepada orang ramai, madu kelulut Presint 16 mendapat permintaan sebagai cenderahati daripada jabatan kerajaan serta dijual semasa acara dan karnival anjuran pelbagai agensi.

Namun, bagi Md Nasir, kejayaan sebenar projek itu bukan sekadar angka pendapatan.

“Impak paling besar ialah penyertaan komuniti... lelaki, wanita, warga emas, belia, kanak-kanak malah golongan kurang upaya turut terlibat dan boleh mengakses kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata kebun komuniti itu juga menjadi lokasi pembelajaran tidak formal apabila tadika, sekolah rendah dan menengah sekitar Presint 16 membawa pelajar masing-masing untuk mengenali pertanian bandar serta ternakan kelulut.

Melangkah ke hadapan, Md Nasir berkata pihaknya merancang mengembangkan projek hiliran berasaskan kelulut seperti propolis, sabun dan kapsul kesihatan selain menjadikan kebun itu sebagai pusat rujukan serta latihan kepada komuniti lain.

“Kami mahu projek ini berterusan walaupun generasi bertukar... sebab itu, belia dilatih dari sekarang supaya mereka boleh ambil alih... harapan kami, model ini boleh dicontohi dan dilaksanakan di tempat lain,” katanya.

Di sebalik botol-botol kecil madu kelulut itu, tersimpan kisah tentang bagaimana perpaduan, sokongan awal kerajaan dan kesungguhan komuniti mampu mengubah ruang terbiar menjadi sumber rezeki serta kebanggaan bersama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505858