JENAYAH & MAHKAMAH

Bergaduh Di Pusat Beli-belah: Tiga Sekeluarga, Seorang Artis Singapura Didakwa

24/12/2025 03:54 PM

JOHOR BAHRU, 24 Dis (Bernama) -- Tiga sekeluarga dan seorang artis dari Singapura, yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di sini Ahad lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Chua Chin Heng, 56, Loe Sou Peng, 55, dan Axl Chua Kai Jun, 27, bagaimanapun minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini manakala P. Suresh, 46, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Ketiga-tiga beranak berdepan pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Suresh di sebuah pusat beli-belah di Jalan Serigala di sini pada 5.17 petang 21 Dis lepas manakala penyanyi kelahiran Singapura itu didakwa memukul Chua di lokasi dan masa yang sama.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chua, Loe dan Kai Jun diwakili peguam Muadz Zulkarnain serta Jagveer Singh manakala pendakwaan terhadap mereka dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal.

Suresh pula diwakili peguam L. Mehnagha manakala pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman dan Siti Aishah Latif.

Shaarmini membenarkan ketiga-tiga beranak itu masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan menetapkan 27 Jan depan untuk sebutan semula kes manakala Nabilah mengenakan denda sebanyak RM1,500 terhadap Suresh.

Chua dan Suresh turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di kawasan Balai Polis Larkin pada 6.15 petang hari yang sama.

Bagaimanapun, Chua minta dibicarakan manakala Suresh mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Shaarmini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shaarmini menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia bagi Chua manakala Suresh didenda RM400.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2505888