PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menutup lebih awal permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), iaitu mulai 26 Dis.
KDN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan langkah itu selepas kuota ditetapkan bagi 2025 hampir mencapai had maksimum 30,000 selain bagi memastikan pengurusan permohonan dilakukan secara teratur dan selaras dengan kuota diluluskan.
“Bagaimanapun, permohonan kuota bagi sektor dan subsektor lain yang dibenarkan masih dibuka sehingga 31 Dis 2025 tertakluk kepada syarat serta peraturan sedia ada.
“Majikan yang berhasrat menggajikan pekerja asing dalam sektor itu diminta mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi KDN dan KPDN serta saluran hebahan kerajaan dari semasa ke semasa.
Kerajaan mengetatkan pengurusan penggajian pekerja asing bagi memastikan pengambilan tenaga kerja selaras dengan keperluan sebenar industri dan tidak menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
Melalui penambahbaikan di bawah Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing KDN, proses kelulusan permohonan diperkemas dengan mengambil kira faktor kebergantungan sektor tertentu terhadap tenaga kerja asing serta pematuhan majikan terhadap peraturan sedia ada.
-- BERNAMA