SHAH ALAM, 25 Dis (Bernama) -- Dakwaan kononnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sukar mengambil tindakan undang-undang terhadap ajaran Qadiani kerana dilindungi individu atasan yang mempunyai kaitan dengan pihak istana adalah tidak benar.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penceramah berhubung ajaran sesat di Selangor, yang kemudiannya dikaitkan oleh pihak tertentu dengan institusi istana, adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata dakwaan itu juga disifatkan sebagai menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam negeri, selain mempertikaikan ketegasan baginda dalam mengekang dan membanteras sebarang penyelewengan akidah serta ajaran sesat di Selangor.
“Kesukaran mengambil tindakan terhadap ajaran Qadiani berlaku kerana ia telah difatwa terkeluar daripada agama Islam pada 24 Sept 1998 dan 17 Ogos 2000. Keputusan fatwa ini memberi kesan kepada bidang kuasa penguat kuasa agama JAIS yang hanya boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah terhadap orang Islam sahaja, sebagaimana diperuntukkan di bawah Subseksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“JAIS juga tidak pernah menerima sebarang aduan atau maklumat mengenai kewujudan individu tertentu yang mempunyai kaitan rapat dengan pihak istana sebagai dalang kepada penularan ajaran Qadiani di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata usaha membanteras ajaran sesat di Selangor dilaksanakan secara berterusan berlandaskan peruntukan undang-undang serta keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, dengan mengambil kira fakta, saksi dan keterangan atau bukti yang diterima oleh undang-undang.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata JAIS merujuk kepada satu rakaman video ceramah yang dimuat naik di platform TikTok oleh seorang pengguna pada 8 Dis lepas, yang membincangkan isu ajaran sesat di Selangor dan mengaitkannya dengan pihak tertentu termasuk institusi istana.
Susulan itu, beliau berkata semakan awal mendapati individu yang menyampaikan ceramah berkenaan merupakan penceramah yang memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor (M1: Tauliah Mengajar Berkitab), dan ceramah tersebut dipercayai telah disampaikan di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong.
“Sehubungan itu, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneliti perkara ini bagi menentukan sama ada kenyataan berkenaan bercanggah dengan ketetapan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau sebaliknya.
“JAIS mengingatkan semua pendakwah, penceramah serta mana-mana individu agar menyampaikan fakta secara tepat, membuat penelitian mendalam, beradab dan bertanggungjawab, serta tidak menimbulkan keresahan awam, khususnya apabila melibatkan kedudukan institusi istana dan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam negeri,” katanya.
-- BERNAMA