Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 25 Dis (Bernama) -- Penyokong yang bersemangat menyambut kepulangan anak kepada bekas Perdana Menteri Bangladesh Begum Khaleda Zia serta waris politiknya, Tarique Rahman, di Dhaka pada Khamis selepas beliau kembali ke negara itu dari Britain selepas 17 tahun hidup dalam buangan.
Media tempatan melaporkan Tarique meninggalkan London pada Rabu malam menaiki penerbangan biasa Biman Bangladesh Airlines yang membuat persinggahan selama satu jam di Sylhet sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 11.40 pagi (waktu Bangladesh).
Pemimpin berusia 60 tahun itu diiringi isterinya, Zubaida, dan anak perempuan mereka, Zaima.
Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang dipimpinnya tidak mengumumkan sebarang perhimpunan besar-besaran pada hari kepulangannya, namun jadual Tarique termasuk menyampaikan ucapan pada satu acara awam ketika dalam perjalanan ke Hospital Evercare di Dhaka untuk menziarahi ibunya yang uzur.
“Ini bukan perhimpunan awam atau program sambutan rasmi. Ia hanyalah satu acara bagi beliau menyatakan penghargaan tulus kepada rakyat serta memohon doa untuk kesejahteraan Begum Khaleda Zia dan semua warganegara,” kata pegawai BNP Salahuddin Ahmed pada Rabu.
Menurut agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha, Tarique mengadakan perbualan telefon dengan Ketua Penasihat kerajaan interim, Muhammad Yunus, sejurus ketibaannya dan mengucapkan terima kasih atas pengaturan keselamatan serta acara kepulangannya.
Tarique menjadi pengerusi pemangku parti itu selepas Khaleda dipenjarakan pada 2018 atas kes rasuah yang dipercayai ramai bermotifkan politik susulan persaingan sengitnya dengan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas digulingkan dalam kebangkitan besar-besaran rakyat.
Tarique merupakan anak sulung kepada Khaleda, yang pernah dua penggal menjadi perdana menteri, dan Allahyarham Presiden Bangladesh serta pengasas BNP, Ziaur Rahman.
Beliau dijangka menziarahi pusara bapanya pada Jumaat.
Seperti kumpulan pembangkang lain, BNP dan ahlinya berdepan tindakan keras sepanjang pemerintahan Hasina dan parti Liga Awami.
Tarique juga dijangka menziarahi pusara Sharif Osman Hadi, seorang pemimpin belia terkemuka dalam gerakan kebangkitan anti-Hasina yang dibunuh di Dhaka bulan ini.
Ketua pemangku BNP itu akan bertanding di kawasan Bogura-6, yang sebelum ini dimenangi ibunya, pada pilihan raya kebangsaan akan datang, menurut laporan media Bangladesh.
BNP dilihat sebagai pencabar utama dalam pilihan raya parlimen pada 12 Feb.
Parti utama lain ialah Bangladesh Jamaat-e-Islami dan Parti Warga Nasional (NCP), yang muncul daripada Kebangkitan Julai yang menamatkan pemerintahan Hasina selama 15 tahun.
Setiausaha akhbar kepada pemimpin sementara Bangladesh, Shafiqul Alam, berkata pada Rabu bahawa Liga Awami tidak boleh menyertai pilihan raya kerana aktivitinya diharamkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah membatalkan pendaftarannya sebagai parti politik.
Hasina telah dijatuhi hukuman mati secara in absentia oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh atas peranannya dalam tindakan keras berdarah pada 2024 yang mengorbankan lebih 1,400 orang dan mencederakan ribuan lagi antara 15 Julai hingga 5 Ogos.
-- BERNAMA