GAYA HIDUP

Sukarnya Hidup Tanpa Cap Jari

25/12/2025 11:46 AM

Oleh Nur Afiradina Arshad

IPOH, 25 Dis (Bernama) -- Kita tahu kepentingan cap jari, terutama dalam mengesahkan identiti diri kerana tidak ada satu pun cap jari yang sama di dunia ini. Justeru, bayangkan kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang ketiadaan cap jari akibat pelbagai masalah.

Mengalami penyakit kulit sejak kanak-kanak, Ros Syam Syasila Rooslee, 34, berkata dia menghabiskan masa jauh lebih lama berbanding individu lain setiap kali melakukan urusan rasmi termasuk perbankan, kerana ketiadaan cap jari. 

“Saya sedar semasa darjah enam. Ketika itu ada masalah sewaktu nak buat kad pengenalan. Cuma pada masa itu pusaran di jari masih boleh dikesan. Namun, masalah sebenar berlaku semasa hendak memperbaharui MyKad pada usia 17 tahun.

“Sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak boleh ‘baca’ cap jari saya, kerana untuk mengesahkan identiti perlukan sekurang-kurangnya 30 peratus pusaran pada ibu jari. Akibatnya, proses tukar MyKad saya ambil masa dua ke tiga bulan berbanding orang lain yang hanya sehari,” kongsinya kepada Bernama.

pic-2

Katanya ketiadaan cap jari juga memerlukan dia membawa beberapa dokumen setiap kali melakukan urusan rasmi seperti  sijil kelahiran, salinan kad pengenalan, surat pengesahan khas JPN mengenai status cap jarinya serta kad kerja atau lesen memandu.

Ros Syam Syasila yang bekerja di sebuah stesen radio di sini, berkata setiap dokumen tersebut pula perlu disediakan dalam salinan terkini dan diperbaharui setiap beberapa bulan walaupun tiada sebarang perubahan maklumat.

“Surat pengesahan khas JPN mengenai status cap jari pula berbentuk A4 yang ada gambar dan cap biru (JPN), tapi ada tempat (agensi) tak mahu cap tahun lepas, kena yang betul-betul baharu. Jadi setiap tahun saya perbaharui supaya tak timbul masalah.

“Sepatutnya urusan mudah seperti menukar nama pemilikan kereta yang sepatutnya boleh dibuat dalam beberapa minit menggunakan cap jari digital, tetapi saya terpaksa berulang-alik ke pejabat JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dengan pelbagai borang. Orang boleh buat dalam talian, saya kena pergi pejabat.. jauh, beratur, bayar lagi...betul-betul menyusahkan,” katanya.

Pada masa sama, wanita ini turut menyuarakan kebimbangan di masa depan, misalnya ketika mahu menunaikan haji atau memerlukan dia bekerja di luar negara kerana membabitkan imigresen antarabangsa.

pic-3

“Sekarang banyak negara pakai sistem cap jari. Saya takut satu hari nanti terlepas Malaysia tapi tak lepas masuk negara lain. Boleh guna surat, tapi tetap susah sebab risiko tinggi, nak travel pun jadi takut,” katanya.

Sementara itu, Pakar Dermatologi dan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Dr A Mohan berkata ketiadaan cap jari biasanya terjadi kibat tiga faktor, iaitu genetik, masalah kulit, rawatan kemoterapi serta faktor luaran seperti pekerjaan yang dilakukan oleh individu tersebut. 

“Keadaan genetik seperti adermatoglyphia, iaitu ketiadaan cap jari sejak lahir akibat mutasi gen SMARCAD1, serta beberapa sindrom genetik lain yang menjejaskan perkembangan kulit seperti sindrom Naegeli–Franceschetti–Jadassohn yang melibatkan mutasi gen KRT14, memang sangat jarang berlaku di seluruh dunia.

“Sekiranya berlaku, kebanyakannya dilaporkan dalam kalangan masyarakat Eropah seperti Switzerland, Jerman, Itali dan Perancis. Di Asia, kes pernah direkodkan dalam kalangan masyarakat India dan Jepun, manakala di Timur Tengah melibatkan individu dari Turkiye dan Iraq. Justeru, walaupun jumlahnya sangat kecil, inilah kumpulan yang lazimnya dikaitkan dengan kondisi genetik tersebut. 

“Namun, bagi kes di Malaysia, hampir semua berpunca daripada masalah yang diperoleh (acquired problem), bermaksud individu tersebut mengalami isu kulit tanpa disedari. Mungkin hanya masalah kulit kering atau faktor berkaitan pekerjaan dan aktiviti harian,” katanya kepada Bernama. 

pic-4

Katanya kebanyakan punca utama kes ketiadaan cap jari adalah disebabkan oleh penyakit kulit ekzema, termasuk ekzema atopik serta ekzema tangan dan kaki akibat dermatitis kontak alahan atau iritan, yang menyebabkan kulit menjadi kemerahan, terengsa, dan dalam jangka panjang boleh menghakis corak cap jari.

“Kalau penyakit acquired ini kita ubati. Sebagai contoh  ekzema atau psoriasis. Kalau diubati, memang boleh pulih dan kembali kepada asal, melainkan kesan ekzema itu telah menyebabkan parut yang kekal dan sekiranya itu berlaku memang sukar untuk sembuh,” katanya. 

Dr Mohan menjelaskan bahawa pesakit yang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada pakar kulit boleh mengenal pasti serta mengurangkan faktor yang menyebabkan kehilangan cap jari dengan rawatan yang tepat.

“Kehilangan cap jari yang berpunca daripada faktor perolehan, pesakit boleh mendapatkan kepastian mengenai punca sebenar dan rawatan yang bersesuaian. Jika keadaan kulit tidak kronik atau tidak mengalami kerosakan kekal seperti parut, terdapat kemungkinan besar cap jari boleh kembali pulih.

“Bagi kes yang tidak kronik, lebih daripada 80 peratus pesakit berpotensi untuk pulih. Namun demikian, tahap pemulihan bergantung kepada tempoh dan keseriusan masalah kulit yang dialami serta punca sebenar kehilangan cap jari tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506039