IPOH, 25 Dis (Bernama) -- Permit penggunaan tapak kedai makan berhampiran Seksyen 45.9 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (FT 185) akan digantung sementara selama sebulan bermula esok bagi memberi laluan kepada siasatan menyeluruh berhubung risiko tanah runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata langkah itu susulan penilaian awal mendapati kawasan terlibat merupakan tanah tambak yang mempunyai tahap risiko tanah runtuh yang tinggi.
Bagaimanapun katanya lokasi cerun tersebut berada di luar seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Sehubungan itu, merujuk kepada keadaan semasa, pihak JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
"Tindakan penutupan lokasi tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Hutan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Nizar berkata kawasan berisiko tanah runtuh itu terletak di Kompartmen 31 Hutan Simpan Bukit Kinta dan berhampiran kedai makan.
Beliau memaklumkan kawasan kedai makan tersebut telah diberikan Permit Penggunaan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum seluas 0.4 hektar berkuat kuasa dari 16 Mei hingga 31 Dis 2025.
"Untuk tindakan dan laporan awal, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan memberi notis penutupan kepada pemegang permit mulai esok (26 Dis) selama tempoh satu bulan sehingga siasatan lengkap dibuat," katanya.
Terdahulu, sebuah kawasan persinggahan yang popular dalam kalangan pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands menjadi tumpuan selepas keadaan hakisan tanah di lokasi berkenaan didedahkan menerusi rakaman dron yang tular.
Rakaman yang dikongsi seorang pengguna TikTok itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen terhadap tahap keselamatan kawasan berkenaan.
-- BERNAMA