SUKAN

MAT 2025 Angkat Kelantan Sebagai Destinasi Sukan Lasak Utama Negara

25/12/2025 06:56 PM

GUA MUSANG, 25 Dis (Bernama) -- Kelantan diangkat sebagai destinasi utama sukan permotoran lasak negara menerusi penganjuran kejohanan pacuan empat roda (4x4) bertaraf nasional yang menghimpunkan peminat dari seluruh negara.

Pengarah Operasi Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025 Atan Aris berkata pemilihan daerah itu sebagai pembuka tirai kejohanan itu dapat memberi pendedahan kepada umum berkenaan beberapa lokasi ekopelancongan yang terdapat di negeri berkenaan. 

“Penganjuran MAT Kelantan 2025 yang berlangsung hari ini hingga 1 Jan depan merentasi beberapa lokasi utama termasuk Gua Musang, Gua Ikan (Dabong), Kuala Krai, FMC Kelah Eco Park dan Istana Sangkut, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan dan sukan lasak negara.

“MAT Kelantan 2025 disertai 150 peserta melibatkan pemandu, kru sokongan serta peminat sukan permotoran dari seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Atan berkata selain merancakkan aktiviti sukan permotoran, MAT Kelantan 2025 turut mempromosikan nilai-nilai murni dan dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti luar bandar termasuk pengusaha kecil, penyedia perkhidmatan tempatan dan sektor pelancongan sepanjang tempoh penganjuran.

Beliau berkata terdapat tiga kategori utama yang dipertandingkan iaitu Adventure, Trophy dan Open yang menguji ketahanan fizikal, kemahiran pemanduan teknikal, keupayaan pemanduan arah serta kerjasama berpasukan dalam laluan hutan dan sungai yang mencabar.

“Kejohanan ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan peserta, pemanduan beretika dan pemeliharaan alam sekitar selari dengan prinsip kelestarian serta amalan sukan lasak yang bertanggungjawab,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506139