SUKAN

NSFC Perlu Kekal Karakter, Disiplin Untuk Teruskan Momentum Positif

25/12/2025 12:08 PM

SEREMBAN, 25 Dis (Bernama) -- Negeri Sembilan FC (NSFC) perlu mengekalkan karakter dan disiplin permainan yang dipamerkan ketika ini bagi memastikan momentum positif pasukan diteruskan sepanjang pusingan kedua saingan Liga Super, kata Ketua Jurulatihnya Mohd Nidzam Jamil.

Beliau berkata peningkatan prestasi Skuad Jang musim ini wajar dilihat dari sudut perkembangan berbanding musim lalu, khususnya apabila pasukan kini berada di tangga keenam liga berbanding kelompok tercorot pada pusingan sama tahun lepas.

“Cabaran kita sebenarnya bukan pasukan lain, tetapi diri kita sendiri. Kita mahu lebih baik daripada tahun sebelumnya. Saya tahu ramai mungkin tidak begitu gembira bila saya kata sedang membina, tetapi ‘sedang membina’ bermaksud kita harus lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya rasa dengan pusingan pertama berada di tangga keenam, lebih baik daripada sebelumnya, jaringan lebih baik dan hari ini tanpa bolos. Kita kena kekalkan karakter sebegini,” katanya kepada pemberita selepas aksi menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, NSFC meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan TRW 2-0 hasil jaringan penyerang Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-36 dan 49, sekali gus menempatkan NSFC di tangga keenam dengan 17 mata, manakala Kelantan TRW di kedudukan ke-10 dengan 11 mata.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kelantan TRW, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mengakui tidak berpuas hati dengan keputusan yang dicatat anak buahnya sejak beliau mengambil alih pasukan, meskipun terdapat peningkatan dari segi persembahan pemain.

“Saya harap pemain perlu sedar situasi ini. Banyak perubahan perlu dilakukan dan saya harap mereka tidak terlalu selesa. Malam ini kita tidak sepatutnya kalah kerana kita ada kualiti yang sama seperti NSFC. Kelemahan kita adalah jentera serangan yang tidak mampu menghasilkan jaringan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506047