DUNIA

Arab Saudi Catat Lebih 11.9 Juta Jemaah Umrah Pada Bulan Jumada Al-Akhira

25/12/2025 10:09 PM

JEDDAH, 25 Dis (Bernama-SPA) -- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, melaporkan lebih 11.9 juta jemaah dari dalam dan luar negara menunaikan umrah sepanjang bulan Jumada al-Akhirah (bulan keenam dalam kalendar Islam), menurut statistik rasmi.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan bahawa angka memberangsangkan itu mencerminkan peningkatan momentum pelaksanaan ibadah umrah serta menonjolkan kecekapan luar biasa perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan bagi melayani para jemaah.

Data itu turut menunjukkan lebih 1.7 juta jemaah umrah tiba dari luar Arab Saudi sepanjang bulan berkenaan.

Kemasukan itu menyerlahkan impak positif platform digital canggih dan perkhidmatan logistik bersepadu yang mempermudah prosedur ketibaan serta membolehkan jemaah melaksanakan ibadah dengan mudah, selesa dan tenang.

Peningkatan berterusan dalam pelaksanaan ibadah umrah itu mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Arab Saudi dalam memantapkan ekosistem haji, umrah dan ziarah, selaras dengan matlamat Visi Saudi 2030.

Melalui inovasi dan penjagaan berterusan, Arab Saudi menjadikan akses ke dua Masjid Suci lebih mudah sambil menyediakan pengalaman kerohanian menyeluruh yang mengutamakan keselesaan dan keselamatan jemaah umrah pada setiap peringkat - daripada perancangan lawatan sehingga kepulangan jemaah dari negara itu.

-- BERNAMA-SPA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506176