DUNIA

Pendatang Israel Luaskan Pos Penempatan Haram Di Tebing Barat

26/12/2025 09:50 AM

ISTANBUL, 26 Dis (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan pendatang Israel yang merampas tanah Palestin telah meluaskan sebuah pos penempatan haram di bandar Nablus di bahagian utara Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, organisasi perundangan Al-Baidar berkata kumpulan  berkenaan menambah rumah pasang siap di sebuah pos penempatan haram yang didirikan di Gunung Qarqafa, antara pekan Aqraba dan Jurish, di tenggara Nablus.

Kenyataan itu menegaskan bahawa langkah berkenaan “merupakan kesinambungan peluasan pos penempatan haram di atas tanah Palestin, sekali gus meningkatkan ancaman terhadap komuniti Palestin di kawasan berkenaan serta secara langsung mengancam hak tanah dan harta milik rakyat Palestin.”

Warga Israel yang merampas tanah Palestin turut menebang kira-kira 150 pokok zaitun milik penduduk Palestin di timur Al-Khalil.

Kumpulan itu lazimnya terlebih dahulu mendirikan pondok sementara yang diperbuat daripada pelbagai bahan di kawasan yang dirancang untuk dijadikan pos “penempatan haram”, kemudian memagari kawasan berkenaan dan membina jalan akses.

Walaupun pos-pos berkenaan turut dianggap haram oleh pihak berkuasa Israel, banyak daripadanya kemudian diubah menjadi penempatan Yahudi selepas suatu tempoh tertentu.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serangan oleh warga Israel yang merampas tanah Palestin di Tebing Barat yang diduduki mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 20 tahun. 

Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023, turut berlaku peningkatan penahanan, serbuan dan serangan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur.

Dianggarkan kira-kira 451,000 pendatang Yahudi di Tebing Barat dan sekitar 230,000 di Baitulmuqaddis Timur kini tinggal di atas tanah Palestin yang dirampas. 

Di bawah undang-undang antarabangsa, rampasan tanah dianggap haram.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506197