DUNIA

UNRWA Beri Amaran Krisis Kemanusiaan Terburuk Dalam Beberapa Dekad Di Tebing Barat

26/11/2025 10:31 PM

NEW YORK, 26 Nov (Bernama-QNA) -- Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menegaskan Tebing Barat yang diduduki sedang mengalami krisis kemanusiaan paling buruk dalam beberapa dekad, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

UNRWA memberi amaran mengenai kemungkinan keadaan bertambah buruk apabila pasukan pendudukan Israel terus menyerbu bandar-bandar Palestin, merobohkan rumah dan menjalankan kempen tangkapan, di samping peningkatan serangan pendatang Israel di penempatan haram yang disokong tentera Zionis. 

“Ia adalah krisis kemanusiaan paling buruk di Tebing Barat yang diduduki dalam beberapa dekad. Lebih daripada 12,000 kanak-kanak masih dipaksa meninggalkan kediaman dan 47 terbunuh tahun ini,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di X.

Agensi PBB itu pada Isnin mengumumkan yang situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus kritikal walaupun terdapat gencatan senjata, sambil menyatakan yang Israel menghalang kemasukan kakitangan antarabangsa agensi itu dan menyekat penghantaran bantuan, menyebabkan kira-kira 6,000 trak makanan terkandas di pintu masuk sempadan.

-- BERNAMA-QNA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495792