GAYA HIDUP

Sentuhan Moden Manik Tradisional Sarawak

26/12/2025 11:38 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Manik mungkin dilihat sekadar perhiasan, namun bagi komuniti asal Sarawak, ia merupakan simbol identiti, sejarah dan warisan budaya yang kini diperkenalkan kepada masyarakat di Semenanjung menerusi sentuhan kontemporari.

Usaha tersebut digerakkan oleh Renieda Sigang Ronnie yang kini berpangkalan di Kuala Lumpur, dengan memodenkan rekaan manik tradisional agar lebih praktikal dan sesuai dipakai dalam kehidupan seharian tanpa menghilangkan makna asalnya menerusi jenama “nidmadetings”.

“Saya mahu memperluas kefahaman serta penggunaan manik yang sebelum ini sering dianggap hanya sesuai dipakai ketika acara rasmi atau kebudayaan. Jadi, saya memodenkan reka bentuk supaya semua orang boleh memakainya setiap hari.

pic-2

“Ia juga bagi memastikan aksesori berunsur budaya itu terus relevan dan diterima masyarakat pelbagai latar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui bersempena dengan Festival Irama Asli & Asal 2025, di sini baru-baru ini.

Renieda, 31, berkata kebanyakan manik yang digunakan kini diperbuat daripada seramik dan tanah liat, berbeza dengan dahulu yang dihasilkan daripada bahan tradisional seperti tulang, biji benih, batu dan logam.

“Dulu materialnya tidak terlalu berwarna. Sekarang manik itu dinaik taraf supaya lebih tahan dan boleh disimpan lama, tetapi reka bentuk serta maknanya masih dikekalkan,” katanya yang mendapatkan bahan mentah dari Miri, Sarawak.

pic-3

Renieda yang mempelajari kemahiran menganyam manik secara kendiri dengan bimbingan keluarga dan rakan, berkata walaupun warna serta bahan disesuaikan dengan keperluan semasa, elemen dan maksud rekaan tradisional tetap dikekalkan sebagai identiti asal manik Sarawak.

Selain menghasilkan aksesori seperti gelang, anting-anting, rantai dan gelang kaki, anak jati Miri itu turut menganjurkan bengkel pembuatan aksesori manik yang memberi peluang kepada pelanggan mereka bentuk sendiri perhiasan mengikut cita rasa masing-masing.

“Untuk bengkel, pelanggan akan memilih sendiri manik dan ‘pendant’, kemudian mereka bentuk sama ada rantai, gelang atau gelang kaki dalam tempoh sejam. Saya akan tunjukkan langkah asas dan bahan yang sesuai,” katanya.

Renieda berkata bengkel tersebut bukan sekadar aktiviti kreatif, sebaliknya menjadi medium memperkenalkan budaya masyarakat asal Sarawak melalui penerangan mengenai bahan, proses pembuatan serta maksud corak dan warna manik.

pic-4

“Manik ini berkaitan dengan budaya, bukan agama. Dulu, semakin 'meriah' dan banyak manik dipakai semakin tinggi status seseorang dalam masyarakat,” katanya menambah setiap aksesori yang dihasilkan dijual pada harga  RM18 hingga RM120, bergantung pada jenis manik, corak serta proses pembuatan.

Menurutnya, cabaran utama dalam pembuatan manik ialah memastikan kekemasan, terutama bagi rekaan bersaiz kecil yang memerlukan tumpuan tinggi.

“Saya berharap pemakaian manik dalam kehidupan seharian dapat membantu masyarakat mengenali budaya dan identiti Sarawak, di samping menyokong kelestarian kraf tradisional tempatan,” katanya yang aktif memasarkan hasil kraf menerusi program jualan dan pameran di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506237