DUNIA

Pilihan Raya Ahad Bawa Harapan Kepada Myanmar, Kata Kerajaan

27/12/2025 11:52 AM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 27 Dis (Bernama) -- Myanmar akan memulakan pilihan raya umum berperingkat tiga fasa pada Ahad ini, dengan kerajaan memberi jaminan ia bakal menjadi “lembaran baharu untuk Myanmar”.

Kerajaan yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negara, Min Aung Hlaing mengadakan pilihan raya umum hampir lima tahun selepas negara berkenaan kali terakhir mengadakan pilihan raya.

“Pilihan raya akan datang sememangnya membawa harapan dan semangat baharu kepada rakyat yang telah lama menderita akibat konflik berterusan.

“Pilihan raya yang berusaha menggalakkan penyertaan rakyat wajar dihargai, bukan dikecam,” menurut media kerajaan The Global New Light of Myanmar dalam satu artikel dua halaman pada malam menjelang pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan pada Jumaat mengumumkan Fasa 1 akan diadakan pada 28 Dis di 102 pekan, manakala Fasa 2 pada 11 Jan 2026 di 100 pekan.

Fasa 3 pula dijadual berlangsung pada 25 Jan 2026 melibatkan 63 pekan di wilayah dan negeri masing-masing, menurut suruhanjaya itu di laman  sesawangnya.

Pada Jumaat, kerajaan turut memaklumkan bahawa perintah berkurung di 44 pekan di Wilayah Yangon akan ditarik balik berkuat kuasa 27 Dis pagi susulan peningkatan tahap kestabilan dan keamanan.

Beberapa pemerhati antarabangsa dari Belarus, China, India, Kazakhstan, Vietnam dan Rusia tiba di Yangon bagi memantau proses pilihan raya.

Menurut media kerajaan, lebih 5,000 calon daripada 57 parti politik akan bertanding merebut kira-kira 950 kerusi di tiga badan perundangan iaitu Pyithu Hluttaw (Dewan Rendah), Amyotha Hluttaw (Dewan Negara) serta Dewan Undangan Negeri dan Wilayah.

Dalam pilihan raya itu, pengundi akan menggunakan mesin pengundian elektronik bagi mengekang penyelewengan kiraan undi serta mengamalkan ketelusan pilihan raya.

“Buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, calon wanita mencatat peratusan tertinggi pernah direkodkan iaitu 18 peratus daripada keseluruhan calon berdaftar,” menurut media kerajaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506515