KUCHING, 28 Dis (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam sungai akibat kemalangan di Jalan Muara Mongkos, Serian, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerima panggilan kejadian pada 3.55 pagi.
Mangsa Belvind Avril Bobbyson, 22, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Maklumat awal mendapati lelaki itu terlibat kemalangan sebelum melanggar palang besi jambatan dan terjatuh ke dalam sungai,” menurut kenyataan itu.
Operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Serian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA