MARANG, 28 Dis (Bernama) -- Sebanyak 166 kilogram sampah terutama botol plastik dikutip dalam tempoh dua jam di Pantai Kekabu, di sini semalam.
Ketua Geng Plastik Ija (GPI) Daerah Marang Rahim Embong berkata Monsun Timur Laut (MTL) membawa banyak sampah hanyut dari negara luar sehingga mencemarkan pantai di Terengganu.
“Kebanyakan sampah yang hanyut ialah botol dari negara luar kerana jenis atau jenamanya tidak dijual di Malaysia.
“Kita mengerakkan sukarelawan untuk membersihkan pantai kerana mahu memberi imej baik kepada pelancong seiring slogan Terengganu Negeri Cantik Budaya Menarik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rahim berkata sebanyak 25 sukarelawan terdiri daripada ahli GPI, pekerja pembersihan Majlis Daerah Marang (MDM) dan komuniti setempat terlibat dalam program Plogging Santai Pulau Kekabu.
Rahim berkata sebahagian sampah itu dibawa ke pusat pelupusan oleh pekerja pembersihan MDM manakala botol plastik dihantar ke pusat kitar semula di Kampung Undang di sini.
Selain mengekalkan keindahan pantai, Rahim berkata program itu juga bertujuan mendidik masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan pantai bukan sahaja aset pelancongan negeri malah nadi kehidupan manusia.
Beliau berkata Plogging Santai dianjurkan secara berkala sejak GPI daerah Marang ditubuhkan pada 2019 dengan antara lokasi yang terlibat ialah Pantai Rhu Rendang, Pantai Rhu Renggeh, Pantai Jambu Bongkok, Pantai Rhu Dua, Pantai Rusila dan Pantai Angin Berbisik.
-- BERNAMA