AM

Kompleks Mahkamah Johor Bahru Capai 85 Peratus Siap – Exco

29/12/2025 12:58 PM

JOHOR BAHRU, 29 Dis (Bernama) -- Projek pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru yang baharu di Iskandar Puteri dengan kos RM195.4 juta, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir suku pertama tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata setakat bulan ini, projek itu telah mencapai tahap siap 85 peratus dan Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau rapi kerja-kerja pembinaan di tapak bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata projek yang dibina di atas kawasan seluas 6.8 hektar bersebelahan Masjid Kota Iskandar itu mula dilaksanakan pada 8 Feb 2023 bagi memenuhi keperluan prasarana kehakiman negeri.

“Insya-Allah, sebaik sahaja siap sepenuhnya nanti, bangunan ini akan menjadi satu daripada identiti baharu Kota Iskandar sebagai pusat pentadbiran negeri Johor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menurut beliau, kompleks itu merangkumi tiga komponen utama iaitu dewan serbaguna setinggi satu tingkat, Blok A Kompleks Mahkamah lima tingkat dan Blok B Kompleks Mahkamah tiga tingkat.

Projek berkenaan turut dilengkapi 24 bilik bicara, pejabat pentadbiran, surau, tadika serta kafeteria, selain kemudahan 389 lot tempat letak kereta dan 171 lot tempat letak motosikal.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2506896