SUKAN

Malaysia Raih Tempat Ketiga Kejohanan Futsal ASEAN B19

29/12/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- SKUAD futsal remaja lelaki negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila menamatkan Kejuaraan Futsal ASEAN Bawah 19 Tahun (B-19) 2025 di Bangkok, Thailand, di tangga ketiga selepas menewaskan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti 4-3, hari ini.

Perlawanan penentuan tempat ketiga berlangsung sengit apabila pemenang terpaksa ditentukan melalui penalti selepas kedudukan terikat 2-2 dalam masa sebenar. Skuad negara bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk menukar skrip perlawanan.

Vietnam terlebih dahulu mendahului 1-0 hasil jaringan Nguyen Truong Hoang Long pada minit kelima separuh masa pertama sebelum Malaysia yang dibimbing Rakphol Sainetngam bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyudah Iqbal Hazim Radzi pada minit ke-39.

Drama tercipta di penghujung perlawanan apabila Nguyen Thac Hieu meledak gol kedua Vietnam pada minit ke-40, namun Malaysia sekali lagi mengikat kedudukan hasil penyudah Aidil Zakwan selang beberapa saat kemudian.

Sebagai rekod, Kejuaraan Futsal ASEAN B-19 julung kali dianjurkan bersama pertandingan peringkat umur Bawah 16 Tahun (B-16).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507051