PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Purata suhu maksimum yang direkodkan di 42 stesen meteorologi menunjukkan penurunan di 33 stesen antara 0.1 darjah Celsius hingga 1.3 darjah Celsius, dan dua stesen mencatatkan peningkatan kecil sepanjang 2024, berdasarkan laporan Kompendium Perangkaan Alam Sekitar, Malaysia 2025, yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Stesen Chuping, Perlis mencatatkan purata suhu maksimum tertinggi pada 2024 iaitu 32.0 darjah Celsius, manakala Cameron Highlands, Pahang mencatatkan purata suhu maksimum terendah pada 17.0 darjah Celsius.
Laporan itu menyatakan sepanjang 2024, hujan tahunan di 22 stesen menunjukkan peningkatan antara 51.0 milimeter (mm) hingga 2,230.9mm, dengan Stesen Kapit, Sarawak merekodkan jumlah hujan tertinggi iaitu 5,624.0mm manakala hujan terendah direkod di stesen Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan 1,704.3mm.
"Secara umum, perubahan iklim global telah memberi pelbagai kesan terhadap alam sekitar pada 2024, termasuk peningkatan kejadian banjir di Malaysia kepada 1,345 kes berbanding 809 kes pada 2023.
"Sarawak mencatatkan bilangan kejadian tertinggi dengan 459 kes, diikuti Terengganu (199 kes) dan Kedah (101 kes)," katanya.
Selain itu, laporan turut menunjukkan peningkatan jumlah sisa klinikal kepada 11.8 peratus pada 2024 selepas dua tahun berturut-turut mencatatkan penurunan.
Beliau berkata jumlah itu meningkat kepada 46,700 tan metrik berbanding 41,800 tan metrik pada 2023.
"Tiga negeri yang menjana jumlah sisa klinikal terbesar ialah Selangor dengan sebanyak 11,800 tan metrik, Kuala Lumpur (5,100 tan metrik) dan Sarawak (5,000 tan metrik),” katanya.
Kompendium Perangkan Alam Sekitar, Malaysia 2025 menyediakan statistik alam sekitar mengenai enam komponen iaitu Keadaan dan Kualiti Alam Sekitar; Sumber Alam dan Kegunaannya; Sisa; Kejadian Ekstrem dan Bencana; Penempatan Penduduk dan Kesihatan Persekitaran; dan Penglibatan, Pengurusan dan Perlindungan Alam Sekitar.
Kompilasi statistik itu berdasarkan Framework for the Development of Environment Statistics (FDES), United Nations, 2013.
-- BERNAMA