EKONOMI

DOSM Perkasa Tadbir Urus Data, Empat Pegawai Diiktiraf Pensijilan Global

30/12/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terus memperkukuh amalan pengurusan data apabila empat pegawai jabatan itu berjaya memperoleh Certified Data Management Professional (CDMP) oleh DAMA International yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. 

DOSM dalam kenyataan memaklumkan CDMP yang menjadi penanda aras global dalam bidang pengurusan data, meningkatkan keupayaan jabatan itu untuk membina ekosistem data yang bersepadu sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap piawaian bertaraf dunia.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang menyambut baik pencapaian itu berkata strategi asas data yang kukuh penting dalam sektor awam. 

“Memperkukuh tadbir urus data adalah penting untuk memastikan data yang berkualiti tinggi, standard dan saling beroperasi di sepanjang rantaian nilai statistik. Pensijilan ini melengkapkan pegawai kami dengan kepakaran bertaraf global untuk memperkasakan peranan DOSM sebagai sumber statistik yang dipercayai negara,” katanya.

Beliau berkata pencapaian itu tepat pada masanya ketika DOSM sedang mempercepat agenda pemodenan data melalui inisiatif seperti Statistics Data Warehouse (StatsDW), OpenDOSM NextGen, TaniStats 2.0 dan DOSM GEOHUB.

Menurutnya, pegawai yang bertauliah CDMP akan berperanan penting dalam memajukan integrasi data, menambah baik pengurusan kitar hayat data dan mengukuhkan infrastruktur statistik merentasi semua domain.

“Kepakaran mereka akan menyumbang kepada pembentukan dasar yang lebih menyeluruh, telus dan berasaskan bukti, selaras dengan keutamaan pembangunan DOSM,” katanya.

Mohd Uzir berkata dalam dunia berasaskan data hari ini, pengurusan, tadbir urus dan perlindungan data organisasi yang berkesan ialah asas kejayaan, manakala negara yang kuat bergantung pada sistem statistik yang mantap untuk menyediakan bukti bagi dasar awam yang berkesan, pengurusan ekonomi yang cekap dan tadbir urus yang telus.

Beliau berkata pensijilan itu turut menyokong peranan DOSM dalam kepimpinan serantau dengan Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) tahun ini.

Sehubungan dengan itu, peningkatan kapasiti tadbir urus data dalam DOSM menyumbang kepada keseragaman, kebolehoperasian dan kerjasama serantau, yang merupakan elemen penting dalam memajukan ekosistem statistik ASEAN yang bersepadu dan dipercayai.

Selain itu, Malaysia turut menduduki tangga pertama pada peringkat global dalam laporan dwitahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang dikeluarkan oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain.

“Pencapaian ini merupakan lonjakan ketara daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507357