AM

PERDA Peruntuk RM50,000 Bantuan Sekolah Kepada 200 Murid

30/12/2025 03:03 PM

TASEK GELUGOR, 30 Dis (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukan RM50,000 kepada 200 murid bagi membantu mereka membeli keperluan sekolah, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga menerusi Program Kembali Ke Sekolah.

Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata semua murid daripada 18 sekolah dan 27 kampung di sekitar Seberang Perai Utara serta penerima adalah daripada golongan keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40).

“Menerusi program itu, kami telah memilih 200 murid daripada 18 sekolah rendah bimbingan PERDA di Pulau Pinang bagi memberi bantuan kembali ke sekolah tahun ini dan fokus utama bantuan itu adalah untuk meningkatkan motivasi serta memastikan tiada murid yang tercicir daripada sesi persekolahan atas faktor kemiskinan.

“Setiap murid akan menerima bantuan dalam bentuk baucar bernilai RM150 untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah mengikut keperluan mereka, kami harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mereka bagi menghadapi sesi persekolahan baharu 2026 nanti,” katanya selepas merasmikan program itu di Midtown PERDA di Kubang Menerong di sini hari ini.

Beliau berkata program itu juga adalah sebahagian daripada aktiviti di bawah PERDA yang berorientasikan pemberian bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal dan keluarga B40 dalam kawasan operasi lembaga itu.

Sementara itu, seorang penerima Nor Baizura Ibrahim, 34, berkata bantuan itu sangat bernilai walaupun hanya seorang daripada tiga anaknya yang bersekolah menerimanya kerana ia membantu kos perbelanjaan membeli keperluan sekolah mereka.

Beliau yang juga suri rumah dan suaminya Shafizah Ishak, 35, bekerja sebagai mekanik berkata mereka terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya RM700 bagi persiapan sesi persekolahan nanti dan bantuan RM150 diterima hari ini sangat bererti kepadanya.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada PERDA kerana menyalurkan bantuan hari ini dan mengurangkan beban untuk beli barangan keperluan anak-anak sekolah nanti.

“Setakat ini saya belum lagi beli barang keperluan tiga anak bersekolah iaitu darjah dua hingga tingkatan satu tahun depan, alhamdulillah kami juga dapat bantuan zakat sebanyak RM150. Jadi, saya akan beli ikut mana yang perlu dahulu dengan bantuan itu,” katanya yang tinggal di Permatang Tok Gelam di sini.

Siti Maimunah Ramli, 38, pula bersyukur kerana anak ketiganya menerima bantuan PERDA yang akan digunakan bagi keperluan sekolah.

Suaminya Hazmadi Mohamad Ilias, 47, bekerja sebagai tukang besi dan pasangan itu mula menyimpan sejak beberapa bulan lepas bagi menampung perbelanjaan empat anak bersekolah.

“Setiap tahun hampir RM1,000 diperlukan untuk yuran, buku dan pakaian sekolah bagi empat orang anak. Bantuan ini sangat membantu persiapan sekolah anak,” katanya yang menetap di Lahar Yooi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507249