JENAYAH & MAHKAMAH

Pembantu Kedai Makan Maut Dilanggar Pemandu Kereta Positif Dadah

31/12/2025 02:05 PM

SEREMBAN, 31 Dis (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki positif dadah jenis kanabis di Kilometer 23 Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata dalam kejadian pada 11.10 malam itu, lelaki berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dari arah Seremban menuju ke Felda Keratong dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa yang dalam perjalanan ke rumah di Senawang tidak sempat mengelak kereta tersebut sebelum dirempuh,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta cedera ringan dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis kanabis sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507571