AM

Ikon Bahasa Melayu Negara Lim San Shien Dilantik YDP Debat Statistik Negara 2025

31/12/2025 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Peguam dan Ikon Bahasa Melayu Negara Lim San Shien mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Debat Statistik Negara 2025 sempena  Pertandingan Akhir Debat Statistik Negara.

Pelantikan beliau disempurnakan Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Pelantikan Lim itu berdasarkan komitmen dan pengalaman luas beliau dalam memperkasakan bahasa Melayu melalui program berimpak, penulisan ilmiah, dan sering diundang sebagai panel forum serta penceramah untuk majlis kerajaan.

Dalam satu kenyataan, Lim yang juga Duta Perpaduan Johor menzahirkan penghargaan kepada Mohd Uzir dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) atas amanah dan kepercayaan yang diberikan untuk mengemudi pertandingan akhir Debat Statistik Negara itu.

“Pelantikan saya sebagai Yang Dipertua Debat Statistik Negara kali ini memberikan pengalaman yang baik, saya mempengerusikan debat gaya Parlimen British (“British Parliamentary”) berbanding Parlimen Asia atau “Asian Parliamentary” yang biasa digayakan dalam format debat.

“Ini merupakan platform untuk saya terus berkembang dari segi ilmu, pendedahan dan juga memantapkan kredibiliti saya untuk terus dilantik YDP bagi pertandingan debat yang lain,” kata Lim.

Pertandingan Debat Statistik Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2025 siri keempat anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) berlangsung di Dewan Serbaguna Jelai, Sungai Koyan, Pahang.

Pertandingan itu menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mara ke peringkat akhir.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507788