DUNIA

Ancaman Penyakit Semakin Serius, Ubat Semakin Kurang Di Gaza – Pihak Kesihatan

31/12/2025 05:23 PM

GAZA, 31 Dis (Bernama–Xinhua) -- Seorang pegawai perubatan Palestin pada Selasa memberi amaran tentang penyebaran penyakit leptospirosis dalam kalangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan tinggal di khemah di seluruh Semenanjung Gaza, lapor Xinhua.

Bassam Zaqout, Pengarah Bantuan Perubatan di Gaza dalam satu kenyataan media berkata penyakit merebak apabila air banjir yang tercemar dengan najis tikus bersentuhan dengan luka terbuka, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang bermain tanpa kasut di air bertakung.

Leptospirosis ialah jangkitan bakteria yang lazimnya tersebar melalui air yang tercemar dengan air kencing haiwan. Seseorang boleh dijangkiti melalui sentuhan langsung dengan air kencing haiwan yang dijangkiti atau dengan persekitaran yang tercemar oleh air kencing itu.

Zaqout berkata sampel daripada kes yang disyaki dihantar melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk diuji di luar Gaza kerana makmal tempatan tidak mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian.

Penyelidikan yang diterbitkan pada September oleh pasukan Palestin-Maghribi menyatakan yang kemusnahan yang berpunca daripada konflik di Gaza menyebabkan sistem air dan sanitasi lumpuh, seterusnya meningkatkan populasi tikus dan serangga serta menambah risiko kesihatan awam dalam kalangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Zaqout berkata khemah kini tidak lagi mampu melindungi penduduk daripada angin kencang dan hujan, dengan banyak khemah dan pusat perubatan runtuh dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Beliau berkata kekurangan bahan api dan peralatan perlindungan menjejaskan kemampuan pasukan perubatan untuk memberi bantuan di tengah-tengah peningkatan kes cirit-birit dan jangkitan pernafasan.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa kesihatan Gaza memberi amaran bahawa pesakit kanser di wilayah itu berhadapan “hukuman mati perlahan,” menyifatkan situasi berkenaan sebagai bencana kemanusiaan dan kesihatan yang belum pernah berlaku dengan akibat yang tidak dapat dipulihkan.

Menurut kenyataan itu, kekurangan serius ubat kanser, ketiadaan perkhidmatan diagnostik dan penutupan berterusan pintu sempadan yang menghalang pesakit mendapatkan rawatan di luar negara “membentuk segi tiga kematian yang mengancam nyawa mereka pada bila-bila masa.”

Mereka berkata membenarkan pesakit kanser meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan di luar negara adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Menurut pihak berkuasa, kekurangan mencecah 52 peratus bagi ubat-ubatan penting, 71 peratus bagi bekalan perubatan dan 59 peratus bagi ujian makmal serta bekalan bank darah.

Menurut kenyataan itu lagi,  650 pesakit dialisis buah pinggang, 1,000 pesakit kanser dan kira-kira 288,000 orang yang memerlukan penjagaan kesihatan asas berisiko menghadapi komplikasi kesihatan yang serius.

--BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507665