DUNIA

China Teruskan Larangan Menangkap Ikan Di Sungai Kuning

31/12/2025 05:50 PM

BEIJING, 31 Dis (Bernama-Xinhua) -- China akan meneruskan pelaksanaan larangan menangkap ikan di Sungai Kuning bagi melindungi sumber akuatik dengan lebih berkesan, menurut Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar pada Rabu, lapor Xinhua.

Kementerian itu baru-baru ini mengeluarkan pekeliling yang memperluas larangan berkenaan merangkumi tiga lagi anak sungai utama, sekali gus menjadikan aliran utama Sungai Kuning serta 13 anak sungai utamanya kini tertakluk kepada larangan berkenaan.

Menurut pekeliling itu, larangan menangkap ikan sepanjang tahun akan dikuatkuasakan di kawasan hulu sungai dan perairan utama di bahagian hulu bermula 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2030.

Moratorium bermusim pula akan dikuatkuasakan dari 1 April hingga 31 Julai setiap tahun bermula dari bahagian Ningxia dan meliputi kawasan ke hilir sehingga ke muara sungai itu.

Kecuali bagi aktiviti menangkap ikan berasaskan kuota terhad di perairan yang ditetapkan serta bagi spesies tertentu, semua aktiviti penangkapan ikan secara komersial akan dilarang sepanjang tempoh larangan dan di kawasan larangan berkenaan.

Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa larangan menangkap ikan yang dilaksanakan sejak 2018 telah membantu melindungi sumber akuatik serta menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi sektor perikanan.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507680