AM

Jemaah Menteri Doakan Kesejahteraan Rakyat Sempena Tahun Baharu 2026

31/12/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Menjelang Tahun Baharu 2026, Jemaah Menteri merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu berserta doa serta harapan terhadap kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.

Kesemua ucapan itu mencerminkan semangat kebersamaan serta tekad kepimpinan negara untuk terus memperkukuh kesejahteraan dan perpaduan nasional dalam mengharungi cabaran 2026.

Antara berkongsi ucapan menerusi media sosial ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menekankan keperluan politik lebih bertanggungjawab dan berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat demi kemajuan negara.

"Saya percaya Malaysia memerlukan politik lebih bertanggungjawab, fokus kepada penyelesaian masalah dan bukan mencetuskan perpecahan antara rakyat demi kepentingan sendiri. Malaysia tidak boleh kembali kepada amalan lama yang menghakis kepercayaan rakyat dan membantutkan kemajuan negara," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2026, hari ini.

Beliau berkata kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang masih dihadapi kebanyakan rakyat serta cabaran peningkatan kos operasi dalam kalangan komuniti perniagaan, dan akan terus menangani isu berkenaan melalui dasar praktikal serta pelaksanaan berkesan.

Seiring penekanan itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dalam perutusan berasingan turut menekankan aspek kesejahteraan rakyat dan pembangunan berteraskan nilai kemanusiaan dalam perutusannya sempena Tahun Baharu 2026.

Beliau menyifatkan tahun baharu sebagai ruang muhasabah terhadap perjalanan negara serta tanggungjawab bersama, selain menegaskan komitmen memperkukuh pembangunan modal insan negara.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi laman Facebook merakamkan penghargaan kepada petani, penternak dan nelayan yang disifatkan sebagai tunjang kepada keterjaminan makanan negara.

"Usaha dan pengorbanan anda semua merupakan asas kepada keterjaminan makanan negara," katanya sambil menegaskan komitmen kementerian untuk terus memperkasa sektor pertanian, perikanan dan penternakan melalui sokongan berterusan, inovasi serta dasar berteraskan kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementeriannya berjaya melaksanakan 762 program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara sepanjang 2025 bagi merapatkan jurang sosial dan memperkukuh perpaduan nasional.

Beliau berkata kejayaan itu berpaksikan prinsip “Faham, Hormat dan Terima” sebagai tunjang kepada pemeliharaan harmoni dalam kepelbagaian, selain menegaskan usaha membina negara dan bangsa akan terus diperkasa selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyifatkan 2025 sebagai tempoh penuh pengajaran dan pengalaman yang membentuk ketahanan dalam menghadapi cabaran.

"Dengan kesibukan jadual luar biasa tetapi tidak ada penyesalan kerana dengan pengetahuan saya telah melakukan yang terbaik dalam setiap cabaran dihadapi,” katanya.

Bagi Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad penghujung 2025 digambarkan sebagai fasa penuh perubahan yang menyaksikan kejatuhan dan kebangkitan semula dengan kekuatan yang lebih utuh.

"Akhirnya kita sampai di penghujung 2025. Ada yang pergi, ada yang datang. Kita jatuh, tapi bangun semula lebih kuat,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 menerusi hantaran poster di Facebook yang memaparkan kolaj program dan aktiviti Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2507689