SOFIA, 1 Jan (Bernama-Xinhua) -- Bulgaria secara rasmi menyertai zon euro dan mula menggunakan mata wang euro sebagai mata wang rasminya pada hari pertama tahun baharu, sekali gus menjadi anggota ke-21 kawasan euro, lapor Xinhua.
Sepanjang Januari, mata wang lev Bulgaria (BGN) akan kekal dalam edaran bersama-sama euro. Bagaimanapun, bermula 1 Feb, euro akan menjadi satu-satunya mata wang sah di negara itu.
Antara 1 Jan hingga 30 Jun, orang ramai boleh menukar lev kepada euro tanpa sebarang caj di bank dan pejabat pos. Selepas tempoh itu, pertukaran mata wang akan dikenakan bayaran.
Pada 4 Jun 2025, Suruhanjaya Eropah mengumumkan bahawa Bulgaria telah memenuhi kriteria untuk menggunakan mata wang euro bermula 1 Jan 2026.
Kesimpulan itu digariskan dalam Laporan Penumpuan 2025 Suruhanjaya berkenaan yang disediakan atas permintaan Bulgaria. Laporan selari daripada Bank Pusat Eropah (ECB) turut menyokong penemuan berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA