KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam dalam Ops Cegah sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.
Penguatkuasaan penuh kesalahan di bawah Sekyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) itu dilaksanakan bermula 12.01 tengah malam tadi di 11 lokasi tumpuan utama di negeri yang menerima pakai akta berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 24 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 18 kes warga asing, manakala dari segi golongan usia 40 kes membabit dewasa dan dua kes membabitkan kanak-kanak.
“Pesalah akan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut SWCorp dalam kenyataan hari ini.
Kesalahan yang dikesan melibatkan perbuatan membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa seperti putung rokok, botol air, minuman tin, plastik tisu dan pembalut makananan di tempat awam serta jalan awam.
Menurut SWCorp, Ops Cegah dilaksanakan secara bersepadu melibatkan anggota penguat kuasa SWCorp seluruh negeri, pengurusan tertinggi agensi itu, kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 300 petugas syarikat konsesi bagi memastikan kawasan terlibat kembali bersih melalui kerja kutipan sampah, sapuan jalan, pembersihan longkang dan penambahan tong sampah.
Kesalahan membuang sampah kecil memperuntukkan denda maksimum hingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan, selain mahkamah boleh mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi tempoh tidak melebihi enam bulan melibatkan jumlah kerja tidak melebihi 12 jam dengan had maksimum empat jam sehari.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp menegaskan Ops Cegah bukan inisiatif bermusim, sebaliknya akan diteruskan secara konsisten menerusi pemantauan berterusan di peringkat negeri dan cawangan.
“Ops Cegah sempena Ambang Tahun Baharu 2026 ditamatkan pada 3 pagi dan disusuli operasi pembersihan pada pagi ini bagi memastikan kebersihan kawasan awam berada pada tahap optimum,” menurut kenyataan itu.
Orang awam boleh menyalurkan aduan berkaitan kebersihan kepada SWCorp menerusi WhatsApp 013-210 7472 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) SWCorp.
-- BERNAMA