Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Lambakan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) bukan sekadar jenayah digital tersembunyi, malah meninggalkan kesan psikologi berpanjangan yang mampu mengganggu pembentukan identiti dan kesejahteraan emosi mangsa sehingga dewasa.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa semalam, menandakan peralihan tanggungjawab kawal selia yang diperlukan bagi memastikan pencegahan eksploitasi tidak lagi dipikul oleh mangsa atau ibu bapa semata-mata, sebaliknya dipertanggungjawabkan kepada penyedia platform digital.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Nellie Ismail ONSA merupakan instrumen yang mengiktiraf keperluan mengekang pengedaran semula kandungan eksploitasi melalui akauntabiliti platform dengan memastikan langkah pencegahan dan respons segera dilaksanakan secara proaktif.
Beliau berkata walaupun peranan ibu bapa kekal sebagai lapisan keselamatan pertama kepada kanak-kanak, sokongan berstruktur seperti ONSA amat diperlukan dan pelaksanaan akta itu tepat pada masanya kerana tanggungjawab mencegah eksploitasi tidak boleh hanya bergantung pada peringkat pengguna tetapi harus dipikul oleh platform yang menguasai reka bentuk dan aliran kandungan.
“Kanak-kanak tidak mempunyai kematangan kognitif dan emosi untuk melindungi diri dalam persekitaran digital yang kompleks dan meletakkan beban itu kepada mereka atau ibu bapa sahaja adalah tidak realistik serta berisiko.
“Kanak-kanak lebih terdedah kepada grooming apabila wujud keperluan emosi yang tidak dipenuhi, kesunyian, kurang pengawasan dan pendedahan awal tanpa literasi keselamatan, sekali gus menjadikan reka bentuk selamat serta pengesanan awal oleh platform sebagai keperluan wajib dan bukan pilihan,” katanya kepada Bernama.
Nellie berkata platform yang benar-benar selamat perlu merangkumi pencegahan awal, pemantauan algoritma beretika, tindak balas pantas dan laluan sokongan jelas supaya pelaksanaan ONSA 2025 dapat melangkaui aspek teknikal dengan mengurangkan pendedahan semula kepada kandungan trauma dan memudahkan akses kepada bantuan profesional.
Menurut pakar psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja UPM itu, pendedahan berulang terhadap kandungan yang menonjolkan tubuh kanak-kanak walaupun tanpa unsur seksual boleh menormalisasikan seksualisasi awal dan mengganggu pembentukan imej diri serta sempadan tubuh, sekali gus mengukuhkan keperluan ONSA untuk memastikan algoritma media sosial tidak hanya mengejar keterlibatan pengguna tetapi turut melindungi perkembangan psikologi mereka.
ONSA menetapkan tanggungjawab dan obligasi ke atas penyedia perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial bagi mengurus kandungan berisiko melibatkan CSAM, kandungan lucah dan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan diri.
Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan, sebanyak 82,076 kandungan tidak senonoh atau sumbang telah diturunkan bagi tempoh antara tahun 2022 hingga 1 Julai lepas, manakala 957 kandungan memudaratkan melibatkan kanak-kanak turut diturunkan bagi tempoh antara 1 Jan hingga 30 Nov lepas.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC Eneng Faridah Iskandar berkata ONSA memperuntukkan tanggungjawab jelas kepada penyedia platform digital untuk menjamin keselamatan pengguna dengan keutamaan diberikan kepada perlindungan kanak-kanak serta pencegahan penyebaran kandungan CSAM.
Di bawah akta itu, beliau berkata platform tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pelaporan pengguna sebaliknya perlu mengesan dan menurunkan kandungan memudaratkan secara proaktif termasuk bahan eksploitasi seksual dan pemangsa dalam talian.
“Platform mempunyai kawalan terbesar terhadap sistem dan kandungan mereka, maka dengan ONSA tanggungjawab melindungi pengguna khususnya kanak-kanak agar kandungan memudaratkan tidak terlepas daripada radar.
“Ini bukan soal menghukum pengguna, tetapi memastikan platform tampil ke hadapan dan mengambil serius keselamatan kanak-kanak, rakyat mahukan perlindungan, dan ONSA 2025 diwujudkan bagi memenuhi tuntutan itu,” katanya.
Beliau berkata penyedia platform juga bertanggungjawab membangunkan rancangan keselamatan dalam talian yang komprehensif termasuk saluran aduan berkesan, garis panduan penggunaan selamat serta usaha mendidik pengguna berkaitan risiko kandungan tidak sesuai dan kaedah perlindungan diri.
Sementara itu, ibu bapa menyambut baik pelaksanaan akta baharu berkenaan dengan harapan ONSA dapat memecahkan kitaran penyebaran kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak yang berpanjangan termasuk melalui kawalan algoritma.
Bapa kepada dua anak remaja, Nor Zulkarnain Md Nor Isa,43, berkata penyedia platform mematuhi akta baharu ini dan melaksanakan kawalan algoritma kandungan tidak sesuai pada skrin pengguna.
“Screen time kami boleh tentukan, tetapi kami sendiri tidak tahu apa yang algoritma sembunyikan di sebalik ‘FYP’, ‘for you’, ‘trending’. Itulah yang buat kami takut kerana kandungan yang merosakkan boleh tiba sebelum kami sempat sekat,” katanya.
Guru tadika swasta, Nurul Adlina Azureen Suhaimi, 36, berharap penyedia platform menganalisis kandungan sebelum ia dimuat naik agar pencegahan awal berlaku pada peringkat penyedia dan bukan selepas pengguna menjadi mangsa.
-- BERNAMA