AM

Beberapa Jalan Ditutup, Dilencongkan Sempena Acara Kayuhan PDRM

02/01/2026 05:27 PM

GEORGE TOWN, 2 Jan (Bernama) -- Beberapa jalan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula petang esok hingga awal pagi Ahad sempena acara Penang 2nd Bridge Polis Diraja Malaysia (PDRM) Solidarity Fun Ride 2026.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 2,600 peserta akan menyertai acara kayuhan yang bermula di pusat membeli-belah Queensbay dan melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) sebelum kembali ke pusat beli-belah itu.

“JSAHMS akan ditutup sepenuhnya bermula 8.30 malam esok hingga 3 pagi Ahad manakala penutupan dan lencongan jalan yang terlibat bermula 6 petang Sabtu hingga 3 pagi Ahad secara berperingkat iaitu bagi peringkat pertama bulatan Queen 1, bulatan Queenbays/Harapan dan susur ke Queensbay dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (arah bulatan Bayan Baru dan George Town).

“Peringkat kedua bermula 8 malam melibatkan setiap persimpangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu hala ke susur naik JSAHMS (bawah jejantas), persimpangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari susur turun JSAHMS menghala ke persimpangan lampu isyarat Kampung Jawa dan bulatan Batu Maung ke pusat bandar,” katanya.

Azizee berkata peringkat ketiga bermula 8.30 malam pula melibatkan semua susur keluar ke JSAHMS bagi kedua-dua arah.

Beliau berkata orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif bagi daerah Barat Daya melibatkan semua susur naik ke JSAHMS dari arah George Town dan Batu Maung menuju ke Batu Kawan.

Pengguna jalan raya dari Pulau Pinang ke Seberang Perai dan sebaliknya dinasihatkan menggunakan Jambatan Pertama Pulau Pinang sebagai laluan alternatif manakala pengguna dari Lebuhraya Utara-Selatan boleh menggunakan Tol Tambun, Tol Jawi atau terus ke jambatan pertama.

Pengguna dari utara dan selatan yang menuju ke Bandar Cassia disarankan melalui kawasan Bukit Tambun manakala kenderaan dari tanah besar ke Bayan Lepas atau Bayan Baru boleh melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bulatan Bayan Baru.

Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif sepanjang penutupan jalan dan diminta mematuhi arahan petugas trafik di lokasi terlibat.

Peserta acara itu dinasihatkan datang awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan meletakkan kenderaan di tempat dibenarkan sahaja.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2508211