EKONOMI

Tokoh Korporat Syed Zainal Abidin Dilantik Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor

02/01/2026 08:54 PM

SHAH ALAM, 2 Jan (Bernama) -- Tokoh korporat Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) yang baharu berkuat kuasa semalam (1 Jan), selaras dengan perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Ibrahim Md Yusoff yang sebelum ini banyak menyumbang peranan serta idea dalam memperkasakan PWS. 

PWS dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu mencerminkan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus institusi wakaf di Selangor selain memperkasa peranannya sebagai instrumen strategik, mampan dan berkesan dalam pembangunan sosioekonomi ummah.

Berpengalaman luas dalam bidang pembangunan dan tadbir urus korporat, Syed Zainal Abidin pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Pengarah Eksekutif di PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad dan Pengarah Urusan di Petronas Dagangan.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam agensi korporat serta organisasi yang menjurus kepada pembangunan ummah, antaranya Pengerusi Dagang NeXchange Berhad (DNEX), Pengerusi Silterra Malaysia Sdn Bhd serta Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“PWS yakin pengalaman dan kepimpinan beliau mampu memacu agenda wakaf di Selangor ke arah fasa yang lebih progresif dan berimpak tinggi.

“Hubungan baik beliau bersama syarikat korporat memberi nilai tambah bagi menjalin hubungan sinergi dua hala dalam memastikan institusi wakaf di Selangor terus diperkasa melalui kerjasama yang bakal dijalinkan kelak,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, PWS turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ibrahim atas sumbangan dan usaha beliau dalam memperkasakan PWS ketika memegang jawatan pengerusi PWS sebelum ini. 

Syed Zainal Abidin merupakan pengerusi PWS ketiga sejak perbadanan itu ditubuhkan pada 2011.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2508294