KANGAR, 2 Jan (Bernama) -- Tiga bekas wakil rakyat hari ini memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan kerana mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi yang diwakili mereka.
Saman itu, yang difailkan oleh peguam Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners di Mahkamah Tinggi Kangar di sini, menamakan Rus'sele sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua.
Pada 25 Dis lepas, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga wakil rakyatnya daripada PAS terhenti serta-merta selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Mereka ialah Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail dan Mohd Ridzuan Hashim.
Mereka memohon deklarasi mahkamah bahawa pengumuman yang dibuat Rus’sele adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif, serta relief atau perintah lain.
Sementara itu, ketiga-tiga ADUN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan tersebut diambil demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan masing-masing yang tidak akan mempunyai wakil rakyat untuk tempoh dua tahun bagi membela nasib mereka sebelum berlangsung pilihan raya negeri semula.
-- BERNAMA