DUNIA

Pekerja Maut Dalam Kejadian Lombong Runtuh Di Timur Laut Australia

04/01/2026 02:56 PM

SYDNEY, 4 Jan (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa menemukan mayat seorang pekerja yang dilaporkan hilang selepas sebuah lombong arang batu runtuh di negeri Queensland, timur laut Australia, pada petang Jumaat, lapor Xinhua.

Operasi kecemasan dilancarkan bagi mencari seorang lelaki yang hilang susulan kejadian runtuhan di lombong bawah tanah di kompleks Curragh, lebih 600 kilometer di barat laut Brisbane di tengah Queensland, kira-kira 3 petang waktu tempatan Jumaat.

Pemangku Menteri Perlombongan kerajaan negeri, Tony Perrett, mengesahkan bahawa pasukan penyelamat menemukan pekerja berkenaan yang disahkan meninggal dunia pada malam Sabtu.

Beliau memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia bahawa pasukan pakar bekerja sepanjang malam untuk menstabilkan kawasan kejadian dan mendapatkan akses ke lokasi mangsa.

“Malangnya, pekerja itu tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Seorang lagi pekerja yang berjaya dikeluarkan dengan selamat pada Jumaat dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Tapak lombong Curragh dimiliki oleh pengeluar arang batu metalurgi Coronado Global Resources dan dikendalikan oleh Mammoth Underground Mine Management, yang dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan berhubung kejadian runtuhan itu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2508656