KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pasangan panda gergasi baharu Chen Xing dan Xiao Yue, hari ini diperkenalkan buat pertama kali kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara di sini.
Anwar tiba bagi menyempurnakan majlis pengenalan pasangan panda berkenaan pada kira-kira pukul 11.30 pagi.
Perdana Menteri turut meluangkan masa menandatangani buku pelawat serta meninjau ruang pameran panda berkenaan.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, timbalannya Syed lbrahim Syed Noh, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Pasangan panda gergasi Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) tersebut tiba dari China pada 18 Nov 2025 dan sudah selesai menjalani tempoh kuarantin.
Pada Khamis lepas, Arthur memaklumkan PKGP akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.
Arthur berkata pasangan panda berkenaan merupakan ikon hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dalam usaha mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara, khususnya dalam bidang konservasi dan penyelidikan hidupan liar.
-- BERNAMA